Berita

Misi cabar kuasa ragbi Asia

PROGRAM jangka masa panjang bagi cabar kuasa ragbi asia.
- Diterbit 22 Mei 2020 6:07 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) bersama Majlis Sukan Negara (MSN) melaksanakan program latihan jangka panjang khusus buat pasukan ragbi 7 sepasukan (7’s) lelaki dan wanita.

Program yang memberi tumpuan kepada barisan pemain ragbi berpotensi berusia dalam lingkungan 22 tahun tersebut bertujuan untuk mewujudkan satu mekanisme latihan bersepadu kepada kedua-dua skuad 7’s negara.

Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata tempoh selama enam tahun itu akan digunakan sebaiknya bagi mengurangkan jurang antara pasukan lelaki negara dengan Korea Selatan dan Sri Lanka selaku antara empat pasukan terbaik Asia.

“KRM meletakkan sasaran untuk meraih pingat pertama Malaysia di Sukan Asia 2026 malah yakin peluang melakar sejarah lebih cerah jika skuad kebangsaan dapat menyaingi standard kedua-dua negara terbabit.

“Kalau mengikut kedudukan di Sukan Asia 2018 kita berada di tempat kelima terbaik dengan Hong Kong dan Jepun dua pasukan terbaik, untuk kedudukan ketiga itu saya rasa kita boleh bersaing dengan Korea Selatan dan Sri Lanka tetapi kena ada satu program latihan khusus dan menyeluruh,” katanya.

Tambahnya lagi, Malaysia sudah mencapai satu pencapaian membanggakan di Jakarta (Sukan Asia 2018) dan yakin mampu menewaskan Korea Selatan dan Sri Lanka.

“Untuk cabar kedudukan Jepun dan Hong Kong mungkin belum lagi, tetapi kedudukan ketiga terbaik itu saya rasa boleh,” ujarnya.

Sebagai rekod, skuad ragbi 7’s lelaki negara meraih pingat emas di Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur dalam acara ragbi 7’s sejak dipertandingkan di Sukan SEA. Manakala skuad wanita meraih pingat gangsa. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas