Berita

Tiada aksi persahabatan menjelang kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023

TIADA aksi perlawanan persahabatan buat anak buah Tan Cheng Hoe.
- Diterbit 22 Mei 2020 9:36 AM MYT

KUALA LUMPUR – Persiapan skuad Harimau Malaya kendalian Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe menjelang kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Oktober depan tidak akan melibatkan aksi persahabatan susulan penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingan, walaupun ketua jurulatih kebangsaan telah menyenaraikan beberapa aksi persahabatan, namun pelbagai aspek perlu diambil kira badan induk itu termasuk sekatan perjalanan yang dilaksanakan untuk membendung jangkitan wabak tersebut.

“Kami merancang untuk mengadakan beberapa perlawanan pemanas badan tapi belum dipastikan lagi buat masa ini susulan wabak Covid-19 di seluruh dunia. Kebanyakan negara mengadakan sekatan perjalanan yang menyukarkan untuk mengadakan sebarang perlawanan persahabatan.

“Setiap negara mempunyai peraturan tertentu dan mempunyai tahap pelaksanaan yang berbeza-beza bagi mengawal jangkitan Covid-19 dan sudah pastinya kami akan mengadakan perlawanan pemanas badan untuk skuad kebangsaan sebaik keadaan pulih,” tambahnya.

Terdahulu, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memutuskan untuk menangguhkan perlawanan kelayakan Asia kempen Piala Dunia Qatar 2022 semasa jendela antarabangsa pada 23-31 Mac dan 1-9 Jun ini.

Namun, berdasarkan jadual terbaru yang dikeluarkan oleh AFC, Malaysia akan berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 8 Oktober dan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 13 Oktober sebelum melengkapkan jadual perlawanan menentang Thailand di Bangkok pada 17 November.

Harimau Malaya perlu meraih keputusan positif baki 3 perlawanan peringkat kumpulan jika mahu layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 di China. Kali terakhir pasukan Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Asia adalah pada edisi 2007, selaku tuan rumah bersama tiga negara ASEAN iaitu Indonesia, Thailand dan Vietnam. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas