Berita

Forum Umrah dan Ziarah 2024 buka tirai di Madinah

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 23 April 2024 11:35 AM MYT

FORUM Umrah dan Ziarah 2024 membuka tirai pada Isnin selepas dirasmikan oleh Gabenor Madinah Putera Salman bin Sultan Abdulaziz Al Saud, Madinah, Arab Saudi.

Berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Raja Salman, forum kendalian Kementerian Haji dan Umrah itu bertujuan menambah baik kualiti perkhidmatan umrah dan ziarah di Tanah Haram.

Selepas berjaya memecah rekod dengan menerima kunjungan 13.55 juta orang untuk mengerjakan umrah pada 2023, forum ini merupakan satu platform kepada penyedia perkhidmatan tempatan untuk mempamerkan kepada pengunjung mengenai fasiliti dan khidmat yang disediakan seperti pengangkutan, perhotelan, penyediaan visa dan banyak lagi.

Selain itu, sesi dialog, bengkel interaktif dan pameran oleh pemain industri tempatan turut berjalan serentak dalam usaha merealisasikan Wawasan Arab Saudi menjelang 2030 iaitu melahirkan masyarakat yang cergas, ekonomi yang berkembang maju serta negara yang bercita-cita tinggi.

Sementara itu, seorang pelajar Malaysia Ahmad Farez Abdul Wahab berkata kehadiran beliau ke forum berkenaan adalah galakan daripada pihak universiti di Madinah agar mereka dapat membekalkan diri dengan maklumat terkini terutamanya berkaitan teknologi.

“Di universiti, terdapat kira-kira 190 pelajar Malaysia dan semuanya berhasrat untuk datang ke forum ini kerana kami kadangkala turut membantu beberapa jemaah yang datang ke sini,” katanya.

Bagi pengendali agensi pelancongan di Indonesia Mujahidin Muhd Siri, forum ini adalah program terbaik kepada pemilik agensi seperti beliau untuk membandingkan harga.

“Semua perkhidmatan dipamerkan di bawah satu bumbung dan sudah pasti forum sedemikian memudahkan saya untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai situasi umrah, terutamanya selepas selesai musim Haji tidak lama lagi,” katanya.

“Apa yang lebih menarik, terdapat beberapa lokasi tarikan baharu di Madinah yang masih belum diketahui jemaah dari luar negara,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas