Berita

Tunku Ismail derma padang hibrid untuk Stadium Nasional Bukit Jalil

Kredit foto: Facebook JOHOR SOUTHERN TIGERS
- Diterbit 17 April 2024 10:16 AM MYT

PEMANGKU Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail akan mendermakan rumput jenis hibrid bagi kegunaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Menurut hantaran yang dimuat naik menerusi akaun Facebook JOHOR Southern Tigers, inisiatif itu dititahkan oleh baginda selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh serta Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Datuk Seri Windsor John hari ini.

“Hasil kaji selidik yang dijalankan di padang SNBJ telah menunjukkan bahawa rumput hibrid lebih memenuhi keperluan stadium pelbagai guna kerana ketahanan dan fleksibilitinya sesuai untuk acara sukan serta bukan sukan.

“Berdasarkan hasil kaji selidik tersebut dan kejayaan penyelidikan yang dijalankan oleh kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) di Larkin, Tunku Ismail akan mendermakan rumput jenis hibrid yang sedang ditanam di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos kepada Stadium Nasional,” menurut hantaran berkenaan.

Sementara itu, rumput Zeon Zoysia yang didermakan oleh Tunku Ismail kepada SNBJ sebelum ini, akan dibuka dan dipasang di padang Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil.

“Padang tersebut (MSN) sering digunakan oleh Sekolah Sukan Bukit Jalil dan pasukan-pasukan bola sepak negara,” menurut hantaran itu.

Ini merupakan kali kedua Tunku Ismail yang juga pemilik JDT, membantu Stadium Nasional selepas menghadiahkan rumput Zeon Zoysia yang ditanam awal tahun lepas menggantikan rumput jenis Cow Grass.

Namun, kualiti rumput di gelanggang keramat skuad Harimau Malaya itu, kerap menjadi topik hangat selepas beberapa kali berada pada tahapnya tidak memuaskan setelah penganjuran konsert, terutamanya sebelum aksi final Piala Malaysia 2023 dan beberapa perlawanan melibatkan pasukan kebangsaan.

Masalah yang berlarutan itu, menyaksikan Kementerian Belia dan Sukan mengeluarkan moratorium jangka pendek untuk menghalang sebarang pemasangan struktur pentas yang melibatkan persediaan konsert di padang SNBJ sehingga kondisi rumput mencapai tahap yang baik. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas