Agama

Isu kalimah Allah: Boleh marah jangan sampai maki hamun

- Diterbit 22 Mac 2024 12:36 PM MYT

POLEMIK dan penghinaan kalimah Allah telah mencetuskan pelbagai reaksi tidak selesa dalam kalangan umat Islam sehingga sanggup menuturkan kata-kata kesat yang dilarang dalam agama.

Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Madya Dr Sukki Othman berkata sensitiviti dalam kalangan umat Islam berhubung isu kalimah Allah menunjukkan perkembangan yang baik namun perlu dikawal sesuai dengan ajaran Islam.

“Memang ia isu sensitif kerana penggunaan kalimah Allah itu diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya dan sememangnya membangkitkan perasaan marah.

“Namun ada dalam kalangan umat Islam, apabila timbul isu ini mereka meluahkan kemarahan sehingga memaki hamun sedangkan ia bukan daripada ajaran Islam,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Beliau yang dikenali sebagai Ustaz Shauqi berkata terdapat kaedah di dalam Islam untuk mendepani situasi ini tanpa perlu memaki hamun dan mengeluarkan kata-kata nista terhadap orang bukan Islam.

“Apapun kita perlu kaedah bercakap dengan baik, tegur dengan perkataan yang sopan namun dalam masa sama menunjukkan ketegasan tetapi tidak bermakna perlu memaki hamun kerana mesej tetap sampai walau tanpa berbuat demikian,” katanya.

Kata beliau, ketegasan perlu ada dan tidak semestinya menerusi makian atau cacian kerana ia akan berlanjutan dan berisiko mencetuskan pergaduhan serta persengketaan yang berpanjangan.

“Apabila bercakap dengan tegas tanpa melibatkan maki hamun, maka mesej yang hendak disampaikan itu lebih mudah sekali gus boleh mengatas­i konflik lain yang mungkin tercetus.

“Justeru itu, semua pihak perlu mengikut lunas-lunas agama meskipun perasaan marah dan tidak puas hati itu memuncak, namun perlu dikawal kerana itulah ajaran Rasulullah SAW,” katanya.

Menurut Shauqi, beliau melihat faktor penggunaan media sosial yang tidak terkawal menyebabkan persengketaan antara kaum semakin melebar.

“Setakat ini, boleh dikatakan penggunaan media sosial ini meluas dan ia tidak dikawal dan apabila ada individu mula memetik sesuatu perkara yang menjurus ke arah sesuatu, ia menjadi semakin panas kerana ada pula sekelompok yang akan mengapi-apikan.

“Ia juga tidak terhad kepada umat Islam semata-mata kerana ada juga dalam kalangan non-muslim yang turut menyumbang kepada perbalahan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Shauqi menyatakan bahawa setiap yang berlaku pastinya mempunyai hikmah tersendiri khususnya perkara tersebut tercetus di bulan Ramadan.

“Saya lihat kesedaran atau senstiviti masih wujud dalam kalangan umat Islam. Maknanya tindakan atau perkara yang mendorong penghinaan terhadap agama Islam merupakan sesuatu yang amat sensitif dan tidak sepatutnya berlaku.

“Semua pihak perlu mengambil berat dan jangan berlaku perkara seumpama itu lagi dan adab berdakwah perlu ada untuk mengetengahkan sesuatu,” katanya.

Selain itu, katanya berada dalam masyarakat majmuk ini, semua pihak perlu ada sikap saling hormat-menghormati supaya hidup lebih harmoni.

“Apa jua berkaitan isu agama Islam, tidak boleh dipermainkan begitu juga melibatkan agama, budaya dan kaum lain juga perlu dititikberatkan dan mesti ada usaha untuk meningkatkan perpaduan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Sementara itu Shauqi berkata perkara tersebut tiada kena mengena dengan kerajaan kerana ia berkaitan dengan syarikat disebabkan tidak peka dengan sensitiviti umat Islam.

“Jadi natijah daripada isu ini, kerajaan perlu bertegas bagi mengelakkan perkara ini berlaku kerana ia berulang-ulang dan mereka perlu sensitif dengan kalimah Allah yang sememangnya diagung-agungkan dalam kehidupan umat Islam di negara ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas