Artikel

Hilangnya tradisi kad raya

- Diterbit 22 Mac 2024 9:40 AM MYT

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN

ADA era sebelum rempuhan digital secara besar-besaran dengan telefon pintar, kad ucapan Hari Raya membangkitkan suasana kemeriahan pada hari-hari dalam Ramadan menjelangnya Aidilfitri. Kad menjadi seolah-olah satu amalan sampingan dalam menyambut hari raya.

Disebabkan itu, pihak Pos Malaysia terpaksa memproses berjuta-juta kad yang terkumpul dalam masa singkat. Kemuncaknya pada dua minggu awal Ramadan dan itu sudah menjadi acara tahunan – setiap kali Ramadan.

Posmen pula menjadi orang yang sentiasa ditunggu-tunggu, dengan harapan ada orang jauh yang masih ingat kepada kita dan melayangkan kad Hari Raya. Rasa gembira tidak tergambarkan apabila bersusun kad diterima ketika sibuk membuat persiapan raya – membakar kuih atau menggantung langsir baharu.

Tidak dapat dipastikan detik mula amalan menghantar kad Hari Raya dalam kalangan masyarakat di negara ini. Seingatnya saya sejak 1970-an, amalan itu sudah bertapak kukuh terutama dalam kalangan generasi muda.

Dengan mendadak juga muncul gerai menjual kad Hari Raya dan pembeli memilih kad seperti memilih kuih yang didatangkan dalam berbagai-bagai corak dan kualiti kertasnya. Malah ada yang mempunyai bunyi muzik ketika kad dibuka.

Di Kuala Lumpur lokasi paling banyak gerai menjual kad hari raya adalah di kawasan tumpuan orang Melayu seperti sekitar pasar Chow Kit, sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) dan bazar Ramadan.

Kata-kata ucapan hari raya yang dicetak dalam kad selalunya biasa sahaja, malah berulang-ulang. Ungkapannya kurang berseni sekadar mengulangkan kata-kata yang biasa. Sekalipun begitu kad adalah pengganti diri rakan taulan dan keluarga yang jauh di mata.

Perniagaan kad ini mendatangkan untung yang besar biarpun setahun sekali dan hanya dalam kalangan orang Melayu membelinya. Hari Raya adalah satu-satunya pesta keramaian yang menjadi sebahagian daripada entiti budaya. Ia menjadi penting dan hampir sama dengan amalan berbusana tradisi pada hari mulia itu.

Saya juga antara yang banyak menghantar kad Hari Raya kepada rakan serta taulan dan sanak saudara. Bagaimanapun menerima kad pula dalam jumlah yang berganda, biasanya pada tahun-tahun 1980-an dan 1990-an hingga melangkah tahun 2000.

Datangnya daripada sahabat handai dan sanak saudara di kampung, termasuk juga dalam kalangan pembaca tulisan saya di Utusan Malaysia. Ternyata tidak semua kad itu dapat dibalas. Bagaimanapun ingatan yang bawa bersama kad itu sangat besar penghormatannya.

Pada tahun-tahun 1980-an hingga 2000, Pos Malaysia terpaksa memproses sekitar 14 juta keping kad untuk dihantar dan memastikan semua, kalau tidak pun 90 peratus sampai sebelum Hari Raya Aidilfitri. Itu satu jumlah yang besar dan tidak mampu dilakukan dengan bilangan pekerja yang biasa.

Maka Pos Malaysia terpaksa mengambil sekitar 500 pekerja sambilan di pusat-pusat pemprosesan di seluruh negara. Pekerja sambilan itu dikhusus untuk memproses kad Hari Raya dan Pos Malaysia juga menyediakan peti surat khas pada setiap kali menjelang Hari Raya.

Ketika itu lebih kurang RM2.8 juta dibelanjakan oleh orang ramai untuk membeli setem berharga 20 sen bagi setiap kad yang dihantar. Bayangkan pula belanja yang dihabiskan untuk membeli 14 juta kad yang secara puratanya RM2 sekeping. Maknanya setiap kali Hari Raya Aidilfitri paling kurang RM28 juta dibelanjakan untuk membeli kad.

Bagaimanapun Hari Raya juga sebuah pesta budaya orang Melayu dan masyarakat jarang berfikir tentang pembaziran apabila membuat persiapan menyambut Aidilfitri. Begitu juga peruntukan untuk membeli pakaian baharu, kuih-muih tradisi dan moden – banyak yang sanggup berbelanja memeriahkan pesta budaya itu.

Tidak susut diuji zaman

Hari Raya secara semula jadi diterima sebagai sebahagian acara budaya yang sekali gus mengangkat nilai-nilai tradisi seperti bergotong-royong serta menyediakan juadah serta busana tradisi yang diakhiri dengan kunjung-mengunjung antara satu dengan lain.

Kad Hari Raya dalam konteks masyarakat Melayu sama pentingnya dengan baju Melayu, baju kurung, baulu, ketupat, meriam buluh dan mercun malah lagu Selamat Hari Raya nyanyian Saloma. Inilah antara keperluan yang melangsungkan suasana berhari raya sejak lama dulu.

Bagi sesetengah orang, sepatah dua kata-kata yang ditulis sendiri oleh pengirim memberikan kesan psikologi yang berkekalan. Pesanan dan gurauan pendek sememangnya mencetuskan keakraban biarpun terpisah jauh di antara benua.

Menghantar kad Hari Raya secara tradisional lebih memberikan kepuasan kepada pengirim dan juga penerima. Saat membuka sampul kad Hari Raya memberikan kesan yang sangat sentimental kepada penerima. Ada yang menyimpan semua kad yang diterima sebagai satu kenangan terindah yang tidak pernah padam.

Pada Ramadan 1984 saya hanya membeli beberapa keping kad sahaja – kepada keluarga dan  beberapa kawan di kampung. Pada tahun pertama di Kuala Lumpur itu saya belum mempunyai banyak kawan baharu.

Sekeping daripada kad itu dihantar kepada seorang kawan baik semasa di sekolah rendah, kami berpisah selepas masing-masing menamatkan darjah enam, saya masuk tingkatan satu tetapi dia terus berhenti sekolah untuk bekerja membantu keluarganya.

10 tahun selepas saya hantar kad hari raya itu kami bertemu di masjid ketika sembahyang raya. Di masjid itu tempat kami main kejar-kejar ketika orang bertarawih. Sekalipun lebih 20 tahun tidak berjumpa, saya masih ingat wajahnya. Bekerja berat menggunakan kudrat di kampung menjadikan dia kelihatan lebih tua daripada usianya.

Dia mempelawa saya ke rumahnya. Masuk sahaja ke rumah yang dikelilingi sawah, saya terpandang kad yang saya kirim 10 tahun lalu terlekat di dinding. Keadaannya agak kusam dan pudar kerana kesan cuaca.

Saya menghampiri kad itu  memerhati lama-lama dengan rasa yang sukar digambarkan bersama pilu yang tertahan-tahan. Melihat saya lama memerhati kad itu, dia datang dari belakang.

Katanya, “Itulah satu-satunya kad hari raya yang aku terima. Terima kasih Man hang tak lupa kat aku.” Saya hilang kata-kata, matanya berkaca seperti ada kata yang tidak terkata.

Sebenarnya saya pun sudah tidak ingat lagi pada kad itu. Cuma teringat kembali setelah melihat kad itu di dinding rumahnya dan saya menyelak helaian dalamnya. Ada tulisan tangan saya, “Mud, Selamat Hari Raya. Maaf Zahir batin – daripada Man Pak Ku Sin.” Saya sebak meraikan pertemuan yang tidak dirancang itu.

Ingatan tulus dan ikhlas daripada orang yang sebenarnya saya hampir lupa kepadanya. Sekalipun nilai kad itu tidak seberapa, tetapi kepada yang menerima, itu satu penghargaan yang cukup besar. Nilainya tidak pernah susut diuji zaman.

Kini kad Hari Raya sudah lama tiada. Banyak dalam kalangan kawan-kawan menghantar kad digital pada malam raya. Terima kasih banyak-banyak atas ingatan itu. Setiap ingatan itu pasti dibalas dengan ingatan yang berganda.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas