Agama

Laksana zakat melalui Pondok Tarbiyah Haji Siraj

- Diterbit 22 Mac 2024 3:13 PM MYT

SEMPENA bulan Ramadan, orang ramai boleh melaksanakan zakat dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) melalui Pondok Tarbiyah Haji Siraj.

Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Pondok Tarbiyah Haji Siraj, Muhammad Diah Janun berkata, banyak kelebihan membayar zakat melalui Pondok Tarbiyah.

“Antaranya dapat membantu pondok dalam memberikan pendidikan percuma kepada semua pelajar selain boleh dibayar pada bila-bila masa sahaja. Dalam masa yang sama, sebahagian daripada zakat yang telah dibayar juga akan disalurkan untuk perbelanjaan pondok,” ujarnya.

Muhammad Diah yang dilantik oleh LZS sebagai Penolong Amil berkata pondok tersebut yang terletak di Sungai Buloh, sememangnya amat menghargai segala bantuan yang diterima.

“Pondok tersebut menempatkan seramai 60 pelajar serta enam orang guru, dengan bantuan ini sedikit sebanyak dapat memberikan sesi pembelajaran yang lebih baik buat mereka.

“Malah hanya dengan zakat serta bantuan-bantuan yang diterima ini, mampu untuk terus mengekalkan Pondok Tarbiyah Haji Siraj dalam memberikan didikan,” ujarnya.

Jelasnya, selain menunaikan kewajipan, mereka juga mampu menyucikan harta-harta pendapatan.

“Selain daripada melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang Islam yang wajib untuk ditunaikan, ia juga untuk menyucikan harta serta diri kita daripada kekhilafan.

“Salah satu cara untuk menyucikan harta ialah dengan berzakat, mudah-mudahan dengan zakat ini juga dapat membantu golongan yang menerima sekali gus diberi keberkatan rezeki pada masa hadapan,” katanya.

Antara zakat yang dibolehkan ialah pendapatan, perniagaan, pelaburan, wang simpanan, emas dan perak, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), takaful, padi, qada zakat, serta zakat fitrah megikut kadar yang telah ditetapkan.

Orang ramai boleh melaksanakan bayaran zakat atas nama Lembaga Zakat Selangor melalui Maybank Islamic, Pondok Tarbuyah Hj Siraj, nombor akaun 5505 1140 0554. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas