Artikel

Iftar@KL 2024 konsep makan bersama

- Diterbit 15 Mac 2024 9:35 AM MYT

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN

BERBUKA puasa pada bulan Ramadan sudah lama menjadi tradisi dalam masyarakat Melayu negara ini. Hingga kini masyarakat di kampung masih meneruskan tradisi daripada berbuka puasa seperti bertukar juadah selain berkumpul dan makan bersama sanak saudara.

Sementara di masjid dan surau pula sememangnya menyediakan juadah berbuka untuk orang ramai. Tradisi seperti itu sudah lama membumi dalam masyarakat dan ternyata tidak mengganggu ibadat yang diwajibkan dalam Islam. Perkara yang wajib dan tradisi bergerak selari selagi tidak bercanggah dengan tuntutan agama.

Meletakkan tradisi pada berbuka puasa sebagai makan bersama bukan sahaja tidak bercanggah, malah selari dengan Islam yang menganjurkan kepedulian sosial terhadap masyarakat. Bukan sahaja dalam kalangan Islam malah terhadap bukan Islam.

Hal itu jelas menunjukkan bahawa berbuka puasa bukan sahaja menikmati juadah selepas berpuasa pada siangnya. Masa yang sama diperindahkan dengan sentuhan yang tradisi. Misalnya tradisi makan bersama dan bertukar juadah kerap dilakukan pada bulan Ramadan.

Sebagai satu tradisi, juadah berbuka puasa pula kuih-muih yang sudah jarang terdapat selain bulan puasa. Juadah itu dihidupkan kembali sebagai penerus pada satu tradisi masyarakat Melayu suatu waktu dulu. Di bandar-bandar juga kuih-muih tradisi itu diangkat kembali di banyak bazar Ramadan.

Oleh itu berbuka puasa tidak sahaja menikmati makan malam seperti hari-hari lainnya, sebaliknya meneruskan tradisi – dari segi juadah dan konsep makan bersama selain di masjid dan surau. Malah banyak juga diadakan acara berbuka puasa untuk orang ramai.

Setiap masyarakat Islam di dunia mempunyai tradisi berbuka puasa yang tersendiri, begitu juga ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri. Unsur tradisi tertampil dengan begitu ketara sekali. Yang menjadi suruhan agama tidak ditinggal, kemudian ditambah dengan nilai tradisi yang menjadi amalan hidup masyarakat.

Saban tahun sejak 2012, warga Kuala Lumpur dianggap bertuah kerana Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) mengilham dan menganjurkan acara Iftar@KL 2024. Penganjuran acara yang mendapat kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu menjadi jambatan sosial masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya.

Sebelum ini acara yang sama dikenali sebagai Festival Ramadan. Bagaimanapun dijenamakan sebagai Iftar@KL sejak 2015 dan pada tahun ini Iftar@KL 2024 akan diadakan pada 23, 24, 30, 31 Mac dan 6 dan 7 April. Bermula 8 pagi hingga 11 malam.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, Jalan Raja di depan Bangunan Sultan Abdul Samad menjadi lokasi tetap dan bukan sahaja berbuka puasa malah acara lain yang menjurus pembinaan rohani. Kemuncaknya adalah makan bersama dalam acara berbuka puasa.

Konsep makan bersama dalam majlis berbuka puasa itu dilakukan pada berbagai-bagai bentuk dan skala – ada yang kecil dan tidak kurang juga yang besar dan melibatkan pelbagai kaum dan agama. Iftar@KL 2024 sebuah acara makan bersama yang berskala besar itu menjurus meraikan keharmonian dan saling menghormati.

STATUS SOSIAL

Majlis berbuka puasa itu merentas garis yang memisahkan antara kaum, kelompok dan agama dalam kalangan masyarakat. Iftar@KL yang diadakan sebelum ini menghubungkan antara kaya dan miskin malah gelandangan menjamah juadah yang sama. Status sosial diletak di tepi ketika makan bersama secara beramai-ramai.

JKKN menjadikan Kuala Lumpur tidak ketinggalan dalam menganjurkan acara berkonsep makan bersama pada skala yang besar. Bagi negara ini acara berbuka puasa itu mencerminkan ikatan persaudaraan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya.

Kalau diperhatikan secara mendalam, Iftar@KL bukan sahaja terbuka kepada orang Islam dan tempatan sahaja, malah kepada semua termasuk pelancong luar yang kebetulan berada di Kuala Lumpur ketika acara itu berlangsung. Ini bukan acara makan percuma sekalipun dihidang dengan percuma, tetapi yang ditekankan adalah makan bersama.

Acara itu juga dimasukkan dalam kalendar pelancongan untuk memberi peluang kepada pelancong asing menikmati pengalaman makan bersama sempena acara berbuka puasa. Penganjuran seperti itu memberikan gambaran yang jelas tentang kemurnian Islam sebagai agama untuk semua – kaya dan miskin, tua dan muda. Malah sentiasa menjadi jambatan yang menghubungkan antara satu dengan yang lain.

Berbuka puasa sebenarnya berpotensi dikomersialkan, kini golongan yang berkemampuan boleh menikmati hidangan istimewa di hotel ternama dengan bayaran yang juga besar.

Malah sejak beberapa tahun belakangan ini semakin banyak yang memilih untuk berbuka puasa di hotel atau restoran mewah. Berbuka puasa sudah dikomersialkan dan menjadi satu perniagaan. Bayaran untuk seorang paling rendah RM100 adalah harga sebuah gaya hidup.

Sekalipun begitu berbuka puasa, sama ada secara mewah, sederhana atau ala kadar sahaja adalah pilihan peribadi. Tidak menjadi kesalahan asalkan tidak  bercanggah dengan ajaran Islam dan melupakan golongan yang tidak berkemampuan.

Ada yang mahu merasa berbuka puasa secara mewah dan tidak kurang juga orang kaya yang mahu menikmati berbuka puasa dengan golongan biasa atau yang lebih rendah.

Mereka memilih Iftar@KL dan sekali lagi berbuka puasa adalah pilihan peribadi. Maka kita semestinya meraikan golongan yang berada tetapi turut sama-sama bersila makan bersama atas Jalan Raja.

Kehidupan adalah pengalaman yang tidak boleh dijual beli. Disebabkan hal itu banyak juga dalam kalangan yang kaya tidak mahu terkurung dalam sangkar kekayaan yang memisahkan dengan golongan yang lebih rendah. Mereka itulah yang memilih Iftar@KL untuk menikmati pengalaman baharu.

Suatu yang membanggakan apabila ada penglibatan golongan berada sama ada memberikan sokongan material dan moral, malah banyak yang turut makan bersama dengan orang ramai. Mereka tentu memahami tujuan dan pengertian berbuka puasa dan di sisi lain memperlihatkan kepedulian sosial terhadap sesama manusia.

Kalau berbuka puasa sudah dikomersialkan di hotel-hotel mewah, dari sisi yang lain pula boleh dijadikan jambatan sosial melalui penganjuran Iftar@KL. Acara seperti itu adalah pendekatan terbaik untuk menjulang Islam sebagai agama yang meraikan persaudaraan. Maka, datanglah pada tarikh-tarikh yang disebutkan di atas. Semua tanpa mengira siapa dialu-alukan datang ke Iftar@KL 2024.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas