Agama

Imarah bulan mulia dengan program ilmiah bermanfaat

NA'IM bersama penerima Bantuan Persediaan Ramadan MAIWP di Masjid Putra, Putrajaya
- Diterbit 15 Mac 2024 3:13 PM MYT

PROGRAM Ihya Ramadan peringkat Wilayah Persekutuan bertemakan Ramadan Sejuta Rahmah mampu mengimarahkan bulan yang penuh barakah dengan pelbagai pengisian program seperti ibadah, kerohanian, pembudayaan ilmu dan kemasyarakatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata program yang diadakan itu bagi memastikan bulan Ramadan diisi dengan pelbagai program keilmuan yang boleh memberi manfaat.

“Jadi dengan adanya program sepanjang Ramadan, masyarakat Islam berpeluang untuk belajar dan mendapat ilmu pengetahuan sebenar daripada program yang diaturkan.

“Secara amnya, program seumpama ini diharap dapat memperkukuhkan hubungan dan kerjasama semua pihak dalam usaha memperkasa penyampaian mesej agenda Malaysia MADANI dan Transformasi Al-Falah demi memartabatkan Islam dan membangunkan negara ini,” ujar beliau selepas merasmikan Majlis Sambutan Program Ihya’ Ramadan Peringkat Kebangsaan 2024 di Masjid Putrajaya, baru-baru ini.

Antara program yang diaturkan adalah Ceramah Ambang Ramadan, Program Tadarus Al-Quran, Program Agihan Bubur Lambuk MADANI, Iktikaf Ramadan dan Ziarah Kasih Ramadan.

Menariknya, pada tahun ini, orang ramai berpeluang menyertai Program Singgah Sahur Ramadan, Kembara Tazkirah Ramadan (16 agensi), Iftar MADANI Bersama Orang Kurang Upaya (OKU), Ramadan Mosque Open Day dan Gema Takbir Aidilfitri.

Terdahulu, Agensi Hal Ehwal Islam Wilayah Persekutuan di bawah seliaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengimarahkan bulan Ramadan tahun ini dengan pelbagai program menarik.

Antaranya radio di bawah IKIM FM menyajikan IKIM Merentas Benua:Uzbekistan, Tip Ramadan, Wanita Dalam Islam, Forum Bicara Ad Din dan Tazkirah Ramadan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas