Artikel

Calar imej Putrajaya

- Diterbit 15 Mac 2024 9:30 AM MYT

WARGA Putrajaya khabarnya tidak senang hati dengan sikap orang ramai meletakkan kenderaan sesuka hati di tempat tidak sepatutnya sehingga mencacatkan pemandangan di pusat pentabiran negara itu.

Mereka kesal dengan sikap pemilik kenderaan yang tidak bertanggungjawab mencemar imej Putrajaya sebagai sebuah bandar terancang kerana memparkir di tempat larangan. Antaranya kenderaan diletak di ruang pejalan kaki, bahu jalan atau kaki lima.

Ruang pejalan kaki di Putrajaya luas dan selesa. Semua itu untuk kemudahan warganya. Tetapi sayangnya pemilik kenderaan menjadikan kawasan luas ini tempat parkir. Tentu sahaja ini mencacatkan pemandangan.

Namun sebenarnya sukar juga dipastikan sama ada yang memparkir kenderaan sesuka hati ini warga Putrajaya atau mereka yang datang dari luar. Bagi kawan-kawan Kedai Kopi perkara ini perlu disiasat bagi mengelakkan salam faham dalam kalangan warga Putrajaya sendiri.

Dalam keadaan apa pun, tidak boleh meletak kenderaan di tempat yang tidak dibenarkan, tidak kiralah penduduk tempatan atau orang luar. Gunakan kawasan yang telah digazet sebagai tempat parkir.

Oleh itu pihak penguatkuasa Perbadanan Putrajaya (PPj) wajar memantau agar perkara ini dapat dielakkan. Ambil tindakan tegasw terhadap yang melanggar peraturan. Imej Putrajaya sebagai pusat pentadbiran persekutuan perlu dijaga.

Orang ramai pula belajarlah berdisiplin. Jangan hanya memikirkan kepentingan sendiri apabila hendak meletak kenderaan. Jadilah individu yang patuh kepada peraturan kerana peraturan dibuat demi kebaikan semua.

Pada masa sama, kawan-kawaan Kedai Kopi sarankan pihak PPj dari masa ke semasa memantau keperluan parkir di Putrajaya. Ambil langkah perlu menambah kawasan parkir jika didapati yang ada tidak mencukupi.

Sebagai pusat pentadbiran, ramai yang datang berurusan di pejabat-pejabat kerajaan Putrajaya saban hari. Kerana itu wujud keperluan kepada lebih kawasan parkir untuk memenuhi keperluan warga Putrajaya khasnya dan dari tempat lain amnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas