Artikel

Harap wabak tidak berpanjangan

ORANG ramai dinasihatkan supaya sentiasa memakai topeng muka untuk mengelakkan penyebaran wabak dan virus.
- Diterbit 7 Februari 2020 2:17 AM MYT

Setakat 5 Februari (Rabu) terdapat pertambahan dua kes baharu 2019 novel corona­virus (2019-nCoV) yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan.

Dua kes baharu ini dikesan dalam kalangan rakyat Malaysia yang telah dibawa pulang ke tanah air dari Wuhan, China melalui Misi Bantuan Kemanusiaan pada 4 Februari 2020 sekali gus menjadi jumlah kumulatif sebanyak 12 kes.

Kejayaan misi membawa pulang sejumlah 88 warganegara Malaysia dan 19 ahli keluarga bukan warga­negara menunjukkan betapa kerajaan telah mengambil tindakan serius bagi melindungi rakyat Malaysia daripada terkena jangkitan wabak tersebut.

Malah langkah-langkah yang diambil se­hingga ini menunjukkan Kementerian Kesihatan berjaya mengendalikan ‘krisis’ ini dengan baik malah menjalankan saringan yang begitu ketat di semua pintu masuk negara.

Pengendalian kes 20190-CoV yang diletakkan di bawah kendalian Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga menunjukkan tahap keseriusan kerajaan terhadap wabak ini.

Setakat ini semua pihak tidak dapat menjangkakan bilakah ancaman wabak ini bakal berakhir. Ini kerana lama-kelamaan ia pasti memberikan kesan kepada sektor ekonomi dan kehidupan rakyat negara ini.

Pergerakan masyarakat pastinya agak terbatas kerana masing-masing akan mengurangkan aktiviti yang terdedah kepada penglibatan khalayak ramai sebagai langkah pencegahan.

Golongan yang paling berisiko ialah kanak-kanak dan warga emas perlu diberikan perhatian yang lebih.

Apa yang perlu dilakukan pada masa ini ialah masyarakat harus lebih peka terhadap aspek kebersihan sama ada persekitaran tempat tinggal, makanan dan gaya hidup.

Langkah yang dianggap remeh seperti membasuh tangan sebenarnya mempunyai kesan yang besar dalam mencegah penyebaran dan jangkitan penyakit.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas