Artikel

Bertanggungjawab sebar maklumat

ANTARA berita palsu yang disebarkan individu tidak bertanggungjawab berkenaan kematian seorang wanita di sebuah pasar raya baru-baru ini.
- Diterbit 31 Januari 2020 9:15 AM MYT

KETIKA komentar ini ditulis, Kementerian Kesihatan melaporkan mengenai pertambahan tiga kes positif baharu 2019 novel coronavirus (2019-nCoV) yang dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan pada malam 28 Januari lalu.

Kita amat yakin pasukan perubatan di negara ini bertungkus-lumus mengendalikan kes jangkitan virus tersebut sejak dari peringkat awal ia dikesan memasuki negara ini.

Dalam dunia terbuka ini, peningkatan pergerakan manusia dari satu tempat ke tempat lain membuatkan risiko penyebaran virus itu menjadi cabaran besar kepada mana-mana negara.

Malaysia pernah berpengalaman menghadapi ancaman SARS coronavirus (SARS-CoV) yang telah dikenal pasti pada tahun 2003.

Begitu juga dengan penyebaran Middle East respiratory syndrome coronavirus (MERS-CoV) yang dikesan di Arab Saudi pada 2012.

Dalam hal ini, orang ramai sepatutnya mengikuti nasihat perjalanan yang telah dikeluarkan pihak berkuasa selain mengambil tindakan proaktif dalam memastikan amalan kebersihan dapat dijaga sepenuhnya.

Sebarang perbuatan untuk mempersendakan atau cuba memutar belitkan fakta melalui berita palsu seharusnya dihentikan bagi mengelakkan suasana panik dalam kalangan masyarakat.

Tindakan pantas pihak berkuasa harus dipuji bagi menghalang ada pihak mengambil kesempatan menggunakan masalah jangkitan virus ini sebagai alat kepentingan mereka.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seorang lelaki yang disyaki menyebarkan berita palsu mengenai penularan wabak 2019-nCov. Langkah itu perlu menjadi pengajaran kepada pihak lain yang cuba mengeruhkan lagi suasana.

Sepatut seluruh masyarakat mengambil iktibar atas cabaran ini untuk bersama-sama berganding bahu dan saling menyokong.

Kita sedar ada keluarga yang dalam kesedihan dan kerisauan. Meskipun mereka bukan warganegara ini, dugaan yang dihadapi itu sepatutnya menarik simpati.

Malaysia adalah sebuah negara yang sentiasa mengalu-alukan tetamunya. Namun buat masa ini, saringan yang ketat perlu dilakukan di setiap pintu masuk negara memandangkan jangkitan virus berkenaan mungkin boleh melibatkan pengunjung dari negara lain selain Hubei, China.

Mengambil pengajaran daripada wabak 2019-nCoV ini, orang ramai tidak boleh lagi mengambil mudah soal kebersihan.

Bukan sekadar bagi mencegah tersebarnya virus, malah penjagaan kebersihan diri, persekitaran tempat tinggal dan negara secara ke­seluruhannya dapat membendung daripada dijangkiti penyakit-penyakit lain.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas