Artikel

Gubal akta galak rakyat jaga kesihatan diri

PEMAKANAN harian perlu dijaga bagi memastikan kesihatan diri terpelihara. - Gambar hiasan
- Diterbit 7 Februari 2020 7:31 AM MYT

Baru-baru ini saya ada mencadangkan kepada pegawai Institut Kesihatan Negara (NIH) khasnya, Datuk Dr. Goh Pin Pin agar dapat membuat kajian untuk memperkenalkan undang-undang berbentuk positif yang dapat menggalakkan orang ramai dan bukannya undang-undang berbentuk negatif yang bersifat menghukum.

Ambil contoh yang diberikan di dalam Kanun Keseksaan. Keseluruhan seksyen yang dinyatakan dalam Kanun Keseksaan digubal dalam bentuk negatif.

Apa yang dimaksudkan bentuk negatif adalah bahawa Kanun Keseksaan kesemuanya mempunyai seksyen yang melarang orang untuk melakukan kesalahan.

Sudah sampai masanya untuk kerajaan mengggubal undang-undang dalam bentuk positif iaitu jika seseorang melakukan sesuatu perbuatan itu maka ia akan menerima insentif daripada kerajaan berbanding menerima hukuman.

Undang-undang tersebut sangat sesuai dimulakan dengan undang-undang berkaitan kesihatan.

Jika kita lihat jumlah perbelanjaan yang dibelanjakan oleh kerajaan untuk perbekalan ubat-ubatan, barangan habis guna, vaksin dan reagen adalah kira-kira RM4.1 billion setahun.

Antara inisiatif yang boleh dibuat oleh kerajaan adalah memperkenal akta yang memberikan insentif kesihatan kepada syarikat yang mempunyai rancangan penjagaan kesihatan bagi kakitangannya.

Kini ramai rakyat Malaysia yang mengalami sakit tidak berjangkit seperti penyakit diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit kardiovaskular.

Langkah pencegahan penyakit tidak berjangkit ini adalah memperbaiki tabiat pemakanan dan diet yang sihat.

Menerusi akta ini, kerajaan boleh membuat peraturan kepada syarikat besar yang mempunyai pekerja sekurang-kurangnya 100 orang untuk membuat pelan kesihatan kepada kakitangannya.

Peraturan yang sama boleh juga dibuat kepada kesemua agensi kerajaan kerana jumlah penjawat awam di Malaysia telah mencecah 1.6 juta orang.

Senaman

Pelan kesihatan itu termasuklah pelan untuk mengikuti diet sihat dan melakukan aktiviti senaman seperti berjalan sebanyak 10,000 langkah sehari.

Pelan kesihatan sebegini boleh membantu kakitangan yang mempunyai masalah berat badan berlebihan untuk mengurangkan berat badannya.

Semestinya dengan program sebegini akan memakan perbelanjaan. Perbelanjaan mungkin meliputi kos untuk mengupah ahli nutrisi, pakar pemakanan, jurulatih kesihatan dan membeli peralatan sukan.

Justeru, syarikat pastinya terpaksa mengeluarkan belanja tambahan bagi melaksanakan pelan tindakan ini.
Sebagai balasan, menerusi akta ini kerajaan boleh memberikan insentif pelepasan cukai tertentu kepada syarikat. Dengan cara ini, beban tambahan kewangan syarikat dapat dikurangkan.

Kerajaan juga tidak akan rugi kerana kerajaan akan dapat membuat penjimatan tidak langsung terhadap perbelanjaan perubatan negara.

Kerajaan juga akan mendapat manfaat jika ramai rakyat yang sihat kerana ini akan meningkat produktiviti kerja mereka.

Bagi melaksanakan akta ini, kerajaan harus menubuhkan badan khusus bagi memantau perlaksanaan program pelan kesihatan ini dan bagi memastikan syarikat-syarikat yang mencapai syarat-syarat minimum (threshold) untuk mematuhi perlaksanaannya.

Saya juga tertarik dengan inisiatif FAMA di bawah pengurusan baharu yang telah memperkenalkan Pelan Kecergasan FAMA 2020 bagi menggalakkan kakitangannya yang berjumlah kira-kira 2,000 orang untuk menjalankan hidup dengan lebih seimbang.

Ini adalah satu langkah proaktif FAMA bagi memastikan warga kerja agensi itu dapat bekerja dengan lebih sihat.

Dr. Zulqarnain Lukman merupakan peguambela, peguamcara dan peguam syarie

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas