Berita

Hanya pemilik boleh berbincang – Khalid

KAMPUNG BARU. - Gambar hiasan
- Diterbit 22 Oktober 2019 8:33 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad menegaskan perbincangan hanya akan dilakukan bersama pemilik atau pewaris tanah lot Kampung Baru dan bukan wakil dari persatuan.

“Jika mereka ada soalan, mereka boleh datang bertanya saya. Saya hanya mahu ‘deal’ dengan pemilik sahaja bukan persatuan atau sebagainya yang kononnya menjadi wakil pemilik,” tegasnya.

KHALID (kiri)

Ini kerana, jelas Khalid, terdapat pihak yang cuba untuk memastikan perancangan pembangunan Kampung Baru yang direncanakan kerajaan pada masa ini gagal menerusi tawaran dan rundingan harga.

Katanya lagi, tidak siapa yang boleh menafikan bahawa tawaran yang diberikan kerajaan baru-baru ini adalah tawaran yang terbaik walaupun kononnya terdapat beberapa individu yang ingin membeli tanah Kampung Baru dengan harga yang lebih tinggi.

“Walaupun sebelum ini ada pihak yang menyebut tentang tawaran harga tinggi namun sehingga kini tiada siapa yang membuat tawaran seperti itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersetuju menawarkan pakej baharu kepada pemilik atau pewaris tanah Kampung Baru bagi membolehkan perancangan pembangunan lokasi tersebut dijayakan.

Mengulas lanjut, katanya, pemilik dan pewaris akan diberi tempoh masa tertentu seperti penghujung tahun ini sebelum mengemukakan maklum balas tentang tawaran baharu.

Dalam pada itu, Khalid turut meminta pihak Perbadanan Kampong Bharu (PKB) mengarahkan unit pemasaran mereka untuk bertemu dengan pemilik secara bersemuka bagi memberi penjelasan tentang perancangan dan tawaran yang dinyatakan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas