Berita

Aplikasi GoKL perincikan laluan bas percuma

KHALID (kanan) menaiki bas selepas merasmikan laluan baharu perkhidmatan bas Go KL di Stesen bas LRT Datuk Keramat di sini. FOTO:NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 22 Oktober 2019 6:58 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Bagi memudahkan warga kota mendapatkan maklumat perjalanan bas percuma, GoKL di sekitar ibu negara, aplikasi mudah alih perkhidmatan itu diperkenalkan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, dengan adanya aplikasi GoKL itu, warga kota dapat mengetahui maklumat perjalanan perkhidmatan dengan lebih terperinci termasuk laluan dan tempoh masa bas akan tiba di lokasi hentian.

“Aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma, pengguna dapat tahu semua laluan GoKL yang ada selain boleh tahu laluan apa yang boleh digunakan untuk pergi ke sesuatu destinasi.

“Untuk di perhentian bas pula, pengguna akan mendapat maklumat di mana bas yang dikehendakinya berada dan berapa minit lagi akan sampai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Laluan Baharu Biru Firus dan Aplikasi GoKL di Stesen Bas Transit Aliran Ringan (LRT) Datuk Keramat di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Menurut Khalid, aplikasi itu juga merupakan salah satu usaha kerajaan bagi mencapai wawasan bandar raya pintar.

Justeru, beliau berharap agar warga kota khususnya memanfaatkan teknologi dan semua perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan.

Terdahulu, pada majlis itu, Khalid turut mengumumkan laluan baharu perkhidmatan GoKL berwarna biru firus untuk laluan ketujuh iaitu Hab LRT Datuk Keramat ke Kelumpuk Bambu, Setiawangsa.

Sebagai rekod, sejak bas GoKL diambil alih Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Januari lalu, jumlah penumpang yang dicatatkan dalam sehari adalah 55,226 orang dengan jumlah keseluruhan dalam tempoh sembilan bulan adalah lebih 14 juta. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas