Berita

DBKL kaji naik taraf sistem perparitan

KHALID (kanan) bersama Nor Hisham (kiri) melihat keadaan bilik Perumahan Bandar selepas hadir ke majlis penyerahan Perumahan Bandar di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini hari ini. - FOTO:NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 23 Oktober 2019 9:11 AM MYT

Oleh Azlan Zambry
[email protected]

KUALA LUMPUR – Hujan lebat yang sangat luar biasa petang semalam menyebabkan sistem perparitan sedia tidak dapat menampung takungan air sehingga mengakibatkan beberapa tempat yang tidak pernah banjir dinaiki air.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, keadaan itu menyebabkan berlaku banjir kilat di Jalan Sultan Abdul Hallim (Jalan Duta) dan Jalan Semantan.

“Saya tidak dapat laporan awal berkenaan
hujan lebat kelmarin namun dianggarkan
kadar air hujan yang turun melebihi 100 milimeter,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Perumahan Bandar di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini hari ini.

Ujar Khalid, pihaknya akan mengkaji dan meneliti sistem perparitan untuk menilai adakah ia dapat memenuhi keperluan berkaitan susulan perubahan cuaca pada masa ini.

“Kapasiti perparitan yang ada mestilah mampu menampung jumlah air hujan setinggi itu. Kita dapati terdapat beberapa tempat yang mempunyai kolam takungan supaya dan ia dapat menyelesaikan masalah taburan hujan yang tinggi.” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, pihaknya akan memanggil jabatan yang terlibat dan membentuk satu jawatan kuasa ‘task force’ bagi mendapatkan laporan penuh tentang lokasi terlibat banjir kilat.

“Keadaan banjir di sesuatu kawasan tidak sama, ada tempat air surut cepat. Seperti Lebuhraya Sultan Iskandar air surut dalam tempoh 11 minit sahaja.

“Sekiranya ada melibatkan pampasan dan ganti rugi, ia akan dilihat mengikut situasi dan jika ia disebabkan pemaju, maka mereka perlu bertanggungjawab,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas