Berita

Haliza Misbun tamatkan zaman bujang, pilih lelaki British

|SEMOGA Haliza Misbun dan Matthew kekal bahagia hingga ke syurga.
- Diterbit 10 April 2021 11:38 AM MYT

PENANTIAN pelakon popular Haliza Misbun,48, berakhir apabila dia kini sah menjadi isteri kepada duda anak satu yang juga lelaki warga British, Matthew John Rodgers,48.

Majlis yang mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan hanya dihadiri 50 orang tetamu ini berlangsung di Masjid Ar Rahah, Kerinchi, Kuala Lumpur, kira kira jam 5.25 petang ini.

Pasangan ini dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah Cerai Masjid Ar Rahah, Kampung Kerinchi, Ustaz Mohd Lazim Khairudin dan berwalikan adik lelaki, Othman Misbun.

Pada majlis nikah itu, Haliza menerima mas kahwin RM80 selain wang hantaran berupa sebuah rumah sebagai simbolik membina keluarga baru.

Haliza turut menyerahkan lima dulang hantaran berbalas tiga daripada pihak pengantin lelaki.

“Ini perkahwinan pertama saya. Alhamdulilah. Selama ini saya tahu ada yang sangsi dan berteka-teki dengan status diri saya. Termasuk ada yang menyangka saya sudah berkahwin.

“Tapi hari ini saya bersyukur segala yang dinantikan saya sudah hampir sempurna. Kehadirannya melengkapi kehidupan ini. Insya-Allah,” katanya yang sudah empat tahun menjalinkan hubungan dengan perunding teknologi itu.

SEMOGA Haliza Misbun dan Matthew kekal bahagia hingga ke syurga.

Menurut Haliza, kesungguhan Matthew membuatkan dirinya yakin untuk membawa lelaki tersebut bertemu dengan keluarganya.

“Dia sudah menetap di Malaysia sejak sembilan tahun lalu. Kami kenal menerusi kawan. Pertemuan di sebuah restoran di Damansara Heights ketika keluar bersama kawan yang lain memutik rasa jatuh cinta.

“Malah selepas setahun akrab, dialah lelaki pertama yang saya berani bawa berjumpa keluarga. Saya rasa yakin dengan kesungguhannya dan kami mula terbuka dalam pelbagai aspek.

“Pengalaman hidup masing masing mematangkan diri barangkali menjadi faktor keserasian itu mudah diperolehi,” jelasnya lagi.

Apa yang menarik, Matthew turut melakukan strim langsung di halaman Facebook untuk berkongsi detik bahagia itu bersama keluarga rapat di England. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas