Berita

DBKL kawal selia agihan makanan gelandangan secara terus

- Diterbit 10 April 2021 10:36 AM MYT

PERTUBUHAN bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana individu diingatkan untuk tidak mengagihkan makanan kepada gelandangan secara terus di sekitar pusat bandar raya sepanjang Ramadan ini.

Dalam satu kenyataan semalam, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan bahawa arahan itu dilaksanakan bagi mengelakkan pembaziran dan kekotoran selain bertujuan mengekang penularan wabak COVID-19.

“Aktiviti ini telah menjadikan lokasi-lokasi ini menjadi tumpuan gelandangan malahan ada yang menjadikan kaki lima bangunan sebagai tempat tidur mereka

“Antara lokasi yang sering menjadi tumpuan aktiviti ini adalah di hadapan Bank CIMB, Jalan Tuanku Abdul Rahman, sekitar Masjid Jamek Bandaraya, Jalan Petaling Central Market dan beberapa lokasi lagi,” katanya.

Menurutnya, pengagihan makanan masih boleh diteruskan melalui tiga pusat gelandangan yang telah ditetapkan iaitu Pusat Transit Gelandangan di Jalan Pahang dan Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tunku, serta Pusat Pembelajaran Komuniti yang terletak di Chow Kit.

Dalam pada itu, DBKL memaklumkan pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) telah berusaha drngan memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk membantu golongan itu.

“Antaranya adalah dengan mewujudkan Pusat Transit Gelandangan dan Pusat Khidmat Gelandangan sebagai tempat bagi gelandangan ini mendapatkan perlindungan sementara serta
mendapatkan bekalan makanan harian.

“DBKL juga telah melaksanakan program menyelamatkan gelandangan ini terutamanya ketika negara dilanda wabak Covid-19.

“Usaha ini turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak seperti Yayasan Kebajikan Negara (YKN); Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM); PDRM; RELA, Jabatan Kesihatan WPKL
(JKWPKL), Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan lain-lain,” katanya.-AZLAN ZAMBRY-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas