Selebriti

Hal rumah tangga simpan berdua

- Diterbit 4 April 2024 3:36 PM MYT

EMPAT bulan melayari alam rumah tangga, penyanyi Nabila Razali mengaku tidak semua perkara dalam kehidupannya dikongsi kerana lebih selesa meletakkan had untuk mempamerkan kebahagiaan.

Menurut Nabila, apa yang dimahukan suami menjadi keutamaan baginya terutama apabila berkongsi gambar atau status dalam media sosial.

“Kadang-kadang, ada video yang sudah dirakam dan suami tanya, hendak muat naik di mana. Apabila saya beritahu hendak kongsi di TikTok, suami tengok dahulu. Kalau suami beritahu okey, baru saya muat naik.

“Suami berpesan, kalau hal rumah tangga, simpan untuk kami berdua sahaja,” katanya yang mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan hati, Nik Iruwan Nik Izani pada 18 November tahun lalu.

Dalam masa sama, Nabila juga memberitahu dirinya sudah mula dihujani pelbagai soalan tentang zuriat namun dia lebih bersikap terbuka kerana soalan sebegitu sudah lazim dalam kehidupan bermasyarakat.

“Kalau Dia kata sudah tiba masanya, tibalah. Kalau ada yang bertanya, jawapan saya sama, kalau ada rezeki, adalah. Kalau tiada, hendak buat macam mana. Kita terus usaha sebab saya tidak letak sasaran bila hendak berbadan dua.

“Sekarang, saya buat banyak perkara. Mungkin Tuhan kata, kerja dahulu… Saya pun tak tahu. Semoga soal ini (zuriat), dipermudahkan… Insya-Allah,” katanya ditemui pada majlis pelancaran single Raya Mana? di pusat beli-belah Aeon Mall Shah Alam, baru-baru ini.

Berkongsi pengalaman pertama kali berpuasa bersama suami, Nabila bersyukur dikurniakan suami yang tidak cerewet.

“Saya memang gementar dan hari pertama berpuasa saya mula masak pukul 2 pagi sebab risau tak sempat nak masak dan terlajak tidur. Selepas selesai memasak, kami bersahur sekitar pukul 3 hingga 4 pagi.

“Suami juga tidak cerewet. Kami selalu makan lewat malam (moreh) dan dia (suami) senang je, bersahur dengan kurma sahaja. Tapi saya sebagai isteri mestilah rasa nak masak untuk suami,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas