Selebriti

Aeril sayu kenang anak yatim

- Diterbit 4 April 2024 3:33 PM MYT

PELAKON dan usahawan popular, Aeril Zafrel sentiasa yakin dengan amalan bersedekah kerana ia merupakan antara faktor kehidupan dan perniagaannya berjalan lancar.

Malah setiap kali tibanya Ramadan, dia dan isterinya, Wawa Zainal menerusi Wawa Cosmetics akan menganjurkan Majlis Raikan Ramadan bersama anak-anak yatim dan pelajar tahfiz.

Baru-baru ini, Aeril memperuntukkan bajet yang agak besar untuk meraikan Pertubuhan Warisan Suci dan Pusat Jagaan Rumah Bakti Nur Ain Bangi serta pelajar-pelajar tahfiz dari Pertubuhan Kebajikan Pendidikan dan Kesihatan Nur Nasari.

“Saya yakin apabila lebih memberi atau bersedekah terutamanya yang memerlukan, insya-Allah rezeki lebih murah dan dipermudahkan segala urusan. Saya yakin dengan amalan sedekah.

“Biasanya doa-doa mereka ini tak ada hijab. Kami mengharapkan doa terus diberikan kesihatan serta bisnes makin berkembang,” katanya pada Majlis Indahnya Ramadan bersama Wawa serentak pelancaran rangkaian produk baharu Wawa Cosmetics, Love Your Skin.

Aeril juga meluahkan dirinya memahami perasaan anak yatim sejak berumur 17 tahun. Jadi, saya tahu bagaimana perasaan apabila tak ada orang tua. Hidup rasa serba kekurangan. Bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga kasih sayang.

“Sekarang umur sudah 36 tahun. Waktu saya jadi anak yatim itu lagi panjang sebenarnya. Kadang-kadang nak balik kampung (Johor) dah tak ada perasaan, sebab orang tua dah tak ada.

“Alhamdulillah, mak ayah Wawa tinggal bersama kami. Jadi kemeriahan tu macam biasa seperti keluarga lain juga. Mungkin kalau jadi beraya di luar negara pun, saja nak berubah angin,” ujarnya.

Sementara itu, Wawa juga sempat menjelaskan isu memilih madu kepada Marissa Dania, Misya Mazlan sebagai duta tudung syarikatnya.

“Sebenarnya kerjasama ini secara kebetulan berlangsung selepas kontroversi membabitkan mereka bertiga sedang hangat diperkatakan masyarakat.

“Sejujurnya kami sudah buat perjanjian dengan Misya agak lama dulu, jadi kalau anggap kami ‘tunggang’ kontroversi yang berlaku sebagai strategi pemasaran, itu tidak benar,” jelasnya.

Terdahulu, sekitar Februari lalu, Wawa melantik Misya sebagai wajah koleksi tudung terbaru jenama Wawa Scarves selama tiga bulan. Pemilihan tersebut meraih pujian ramai memandangkan ketika itu Misya berdepan situasi sukar apabila pernikahan rahsia suaminya, Aslam dan Marissa di Songkhla, Thailand terbongkar. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas