Berita

Hakimi tak sabar mahu ‘melompat’

HAKIMI tak sabar mahu beraksi.
- Diterbit 4 Mei 2020 5:25 AM MYT

KUALA LUMPUR – Jaguh lompat kijang kebangsaan, Muhammad Hakimi Ismail menyambut baik pengumuman yang dikeluarkan oleh kerajaan mengenai kelonggaran di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang membenarkan aktiviti sukan dan senaman berkumpulan tanpa kontak seperti larian, badminton, berbasikal dan golf.

Hakimi turut meluahkan rasa lega apabila dapat melakukan aktiviti luar selepas ‘terperangkap’ di dalam rumahnya di Seri Kembangan, sejak arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu.

“Selama ini saya memang membuat latihan di dalam rumah, tetapi mempunyai kekangan kerana tinggal di apartment dengan ruang agak kecil selain takut bunyi bising lompatan akan mengganggu jiran,” ujarnya.

Katanya dia merindui untuk melakukan lompatan dengan teknik yang betul. Ini kerana jika di rumah lebih kepada memperbaiki kemahiran, fleksibiliti otot dan menonton video lompatan sahaja.

“Kalau boleh selepas ini saya hendak berlatih di permukaan lembut seperti padang kerana dah lama berlatih di permukaan keras di rumah,” tambah atlet berusia 29 tahun itu.

Pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur dan pemegang rekod kebangsaan dengan lompatan sejauh 16.77 meter ini turut memasang impian untuk layak beraksi di Olimpik Tokyo ini masih bimbang terdedah dengan risiko wabak Covid-19 apabila menjalani aktiviti sukan nanti.

“Perlu lihat keadaan dulu mungkin terlalu ramai akan keluar bersenam pada Isnin ini. Jadi, kena berhati-hati, pilih tempat yang sesuai dan tidak ramai orang bagi mengurangkan risiko jangkitan.

“Saya rasa berlatih di MSN lebih baik kerana orang luar tidak boleh masuk dan ada jurulatih untuk pantau program Latihan. Pun begitu, belum ada sebarang makluman dari Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai bila ia akan dibuka,” ujarnya. -WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas