Berita

KLFA terima baik garis panduan pelarasan gaji

KLFA tarik nafas lega perlaksanaan garis panduan pelarasan gaji FAM.
- Diterbit 4 Mei 2020 5:51 AM MYT

KUALA LUMPUR – Garis panduan pelarasan gaji yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menetapkan kadar maksimum pemotongan gaji 10 hingga 30 peratus ke atas pemain dan pegawai diterima baik oleh beberapa pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) berikutan ia tidak membebankan.

Pengenalan garis panduan ini dilihat sebagai formula terbaik buat sebahagian pasukan yang belum mencapai kata putus dengan pemain selepas tamat tempoh dua minggu yang ditetapkan FAM.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa berkata garis panduan itu memberi situasi menang-menang antara pihak pengurusan, pemain dan pegawai pasukan Liga-M.

“Kami di Kuala Lumpur sebelum ini hanya mencapai persetujuan selama dua bulan pemotongan gaji dengan pemain iaitu untuk bulan April (pemotongan dari 8 peratus ke 23 peratus) dan Mei (pemotongan 10 peratus ke 25 peratus).

“Setelah FAM mengeluarkan garis panduan sebegini, mungkin untuk bulan Jun ke atas sehingga liga boleh disambung, Kuala Lumpur akan mengikut peratus pemotongan yang FAM tetapkan,” katanya dalam satu kenyataan media.

KLFA yang sebelum ini turut terkena tempias penangguhan liga kini boleh menarik nafas lega apabila badan induk sukan itu mengeluarkan garis panduan tersebut.

Setakat penangguhan liga  16 Mac lalu, skuad The City Boys masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Perdana dengan dua kemenangan dan dua seri. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas