Berita

85 syarikat diberi diskaun 30 peratus pajakan tanah di Labuan

TAN SRI ANNUAR MUSA
- Diterbit 4 Mei 2020 4:34 AM MYT

PUTRAJAYA – Perbadanan Labuan (PL) memberikan diskaun sebanyak 30 peratus ke atas 108 lot tanah pajakan miliknya kepada 85 syarikat yang terkesan ekoran perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, kos keseluruhan yang perlu ditanggung oleh kerajaan bagi pemberian diskaun ini adalah sebanyak RM987,292.82.

“Ia melibatkan 95 perjanjian dan tempoh pemberian diskaun ini adalah selama lima bulan bermula Mac sehingga Julai 2020.

“Terdapat 78 perjanjian bagi kadar pajakan di bawah RM10,000, 17 perjanjian bagi kadar pajakan diantara RM11,000 sehingga RM50,000 dan satu perjanjian bagi kadar pajakan melebihi RM100,ooo sebulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Annuar, kemerosotan ekonomi global akibat kejatuhan harga minyak mentah pasaran dunia serta penularan wabak pendemik Covid-19 telah memberikan kesan yang tinggi kepada situasi ekonomi negara ini.

“Dalam keadaan krisis seperti ini, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan agensi tetap berusaha untuk memberikan bantuan yang terbaik kepada warga Wilayah Persekutuan yang terjejas teruk dan berdepan dengan pelbagai permasalahan dalam meneruskan kehidupan seharian mereka.

“Penambahan inisiatif Wilayah Cakna ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh syarikat-syarikat yang tidak beroperasi semasa PKP di Labuan.

“Ini adalah selari dengan inisiatif Kerajaan Persekutuan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dalam mengatasi bencana global ini,” katanya.

Syarikat-syarikat tersebut menjalankan aktiviti berkaitan dengan minyak dan gas, logistik, komersial, kejuruteraan awam serta pelancongan di Labuan.

Pihak syarikat yang terlibat boleh menghubungi Jabatan Penilaian, Pelaburan dan Pengurusan Harta, PL di talian 087-408650 bagi sebarang pertanyaan lanjut.

Sebelum ini Wilayahku melaporkan Presiden Dewan Usahawan Melayu Labuan (DUML), Datuk Seri Mohd. Alias Abd. Rahman dipetik sebagai berkata, pengecualian sewa ke atas hartanah milik kerajaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak merangkumi Labuan menyebabkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di pulau itu menghadapi kesukaran.

Beliau berkata, para peniaga bimbang sama ada mereka dapat terus membayar sewa bulanan yang dikenakan Perbadanan Labuan.

“Kami dimaklumkan beberapa pengusaha mungkin perlu menutup kedai terutamanya yang mempunyai aliran tunai yang menyusut berikutan mencatatkan urus niaga sifar sejak PKP dilaksanakan,” katanya.  – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas