Berita

Grup basikal Pohon Batu jayakan Kayuhan Muhibah Labuan – Beaufort

PENGARAH JBS Labuan, Mohammad Syahffie (tengah, kiri) menerima cenderahati dan merasmikan pelepasan peserta kayuhan bersama di Terminal Feri Kenderaan.
- Diterbit 18 Disember 2021 6:00 AM MYT

SERAMAI 22 peserta Grup Basikal Kampung Pohon Batu Tarikk Siss, Labuan telah menjayakan Kayuhan Muhibah Labuan ke Beaufort, baru-baru ini.

Pengerusinya, Rozana Kamis berkata, program itu yang disertai 10 peserta lelaki dan 12 perempuan bertujuan untuk mencari pengalaman baharu bagi kumpulan itu dalam mengeratkan hubungan sesama ahli.

“Lebih penting menerusi Program Kayuhan Muhibah itu kami dapat menjalinkan persahabatan dengan Persatuan Berbasikal Daerah Beaufort,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Labuan, Mohammad Syahffie Japril melepaskan peserta kayuhan di Terminal Feri Kenderaan sebelum menaiki feri pada pukul 6.30 pagi.

Sebaik tiba di Terminal Pelabuhan Menumbok, peserta meneruskan kayuhan bermula pukul 9 pagi dan tiba pada 12.30 tengah hari di rumah Timbalan Pengerusi Persatuan Berbasikal Daerah Beaufort, Jufri Etok di Klias Kecil.

“Kami meneruskan kayuhan pukul 1.30 petang dan tiba di Pekan Beaufort 2.30 petang,” katanya.

Ketibaan rombongan Berbasikal Pohon Batu disambut oleh Presiden Persatuan Berbasikal Daerah Beaufort, Yunus Abdul Rajah.

Rozana berharap Persatuan Berbasikal Daerah Beaufort akan mengadakan kunjungan balas ke Pohon Batu pada tahun depan untuk mereka melihat sendiri pembangunan di Kampung Pohon Batu dan Wilayah Persekutuan Labuan amnya.

“Saya mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan komitmen Persatuan Berbasikal Daerah Beaufort dalam menjayakan program yang pertama kali diadakan itu,” kata Rozana lagi.

Ujarnya lagi, perjalanan sejauh 72.44 km dari Jalan Kampung Kilugus dan Kiambor menuju ke Pekan Beaufort amat mencabar peserta.

“Walaupun peserta kepenatan, saya yakin program itu menaikkan semangat mereka untuk meneruskan kayuhan ke tempat lain pula pada masa akan datang,” katanya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas