Berita

Tiga beranak teruja terima rumah pertama Residensi

STEPHANIE (dua kanan) antara sembilan orang terpilih menerima replika kunci Residensi Kuchaimas daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini. STEPHANIE (dua kanan) antara sembilan orang terpilih menerima replika kunci Residensi
- Diterbit 18 Disember 2021 6:00 AM MYT

“SYUKUR, terharu dan gembira” itulah ungkapan yang terpancul tanpa henti dari mulut salah seorang penerima kondominium Residensi Kuchaimas di Kuchai Lama, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ia merupakan saat paling menggembirakan bagi Stephanie Ow Weng Yee, 29 kerana, penantian selama tiga tahun berakhir apabila keluarga kecilnya berpeluang mendiami rumah pertamanya selepas berkahwin.

“Saya mohon rumah ini sebelum saya berkahwin lagi, lebih kurang tiga tahun lalu. Selepas kahwin, saya tinggal di Klang Selangor bersama keluarga suami sementara menunggu Residensi Kuchaimas siap sepenuhnya pada tahun ini,” katanya yang menerima kunci rumah daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

STEPHANIE

Menurut Stephanie, dia bersama keluarganya sedang melakukan persiapan dan bercadang untuk berpindah masuk ke rumah tersebut sebelum perayaan Tahun Baru Cina.

Berkongsi pandangan, Stephanie berkata, dia tertarik dengan kemudahan dan keselesaan Residensi Kuchaimas memandangkan ia terletak di kawasan strategik selain kos rumah yang amat murah.

“Lokasi residensi ini sangat strategik dengan pelbagai kemudahan seperti LRT, stesen bas, kawasan permainan serta mempunyai bilik luas yang lebih selesa dan ada ruangan sendiri (own space) atau privasi untuk anak-anak juga.

“Jika dilihat masa kini, kos untuk membeli rumah di Kuala Lumpur agak mahal berbanding residensi ini yang hanya bernilai RM198,000 seunit dan ia sangat membantu masyarakat yang memerlukan rumah terutamanya golongan bujang atau individu baru berkahwin yang sedang mencari rumah,” kongsi ibu kepada seorang anak ini.

Dalam pada itu, Stephanie turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Wilayah Persekutuan kerana mewujudkan inisiatif ini dan memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk memohon terutama mereka yang ingin memiliki rumah pertama.

Residensi Kuchaimas adalah salah satu projek di bawah Residensi Wilayah Keluarga Malaysia mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air dengan keluasan 800 kaki persegi dan satu petak tempat letak kereta berbumbung serta dilengkapi pelbagai kemudahan seperti taska, tempat rekreasi, dewan serbaguna dan surau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas