Berita

MAIWP agih hasil pungutan zakat RM585 juta tahun ini

MOHD DAUD ( tengah ) menyerahkan replika kunci rumah bantuan MAIWP kepada SAIDIN (tiga dari kanan) pada Sabtu lalu.
- Diterbit 18 Disember 2021 5:30 AM MYT

MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah mengagihkan hasil pungutan zakat, berjumlah RM585 juta sehingga Oktober pada tahun ini.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, dengan hasil pungutan zakat itu, MAIWP telah menggunakan hasil itu untuk pelbagai jenis agihan antaranya, dengan menawarkan 30 skim bantuan khusus untuk asnaf yang berada di Wilayah Persekutuan yang mana ianya terdiri dari pelbagai aspek.

Katanya, agihan itu termasuklah bantuan ekonomi, perubatan, pendidikan dan lain-lain lagi.

“Melalui skim-skim bantuan inilah, pihak MAIWP dapat membantu lebih ramai golongan asnaf sekali gus dapat membangunkan taraf ekonomi umat Islam khususnya yang berada di Wilayah Persekutuan di waktu darurat pandemik ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Tautan Kasih Mesyuarat Majlis Pengurusan Zakat Negeri-negeri bagi tahun 2021 di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Sabtu lalu.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada seluruh Majlis Agama Islam Negeri dan Pusat Pungutan Zakat Negeri-Negeri (agensi mengurus zakat) yang bertanggungjawab dalam menguruskan zakat di seluruh negeri di Malaysia.

Mohd Daud berkata, zakat memainkan peranan sangat efisien dengan memastikan umat Islam yang terjejas ketika pandemik ini mendapat hak mereka, paling mininum pada tahap paling asas iaitu dharuriyat.

“Langkah ini sejajar dengan saranan Perdana Menteri, iaitu Majlis Agama Islam Negeri di setiap negeri perlu mengambil langkah membantu asnaf yang menghadapi kesukaran hidup dan mereka yang terjejas pendapatan ketika COVID-19 walaupun mereka tidak tersenarai sebagai asnaf,” katanya lagi.

Terdahulu, Mohd Daud bersama delegasinya mengadakan lawatan kerja selama dua hari ke Labuan pada Sabtu lalu.

Beliau berkesempatan menyampaikan bantuan peralatan perubatan bernilai RM9,000 kepada Mardiah Talip, 57, menerusi Skim Bantuan Peralatan Kesihatan dan bantuan keperluan diri (lampin pakai buang).

Selain itu, beliau turut menyerahkan kunci rumah bantuan MAIWP bernilai RM70,000 kepada Saidin Salim, 61. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas