WK2

Green kit MARDI bantu kurangkan separuh perbelanjaan dapur

LEBIHAN hasil tani menyumbang kepada pendapatan pasif.
- Diterbit 18 Disember 2021 1:00 AM MYT

UNTUNGNYA tanam sendiri, kita dapat mengurangkan kos perbelanjaan di pasar selain memendekkan rantaian bekalan hasil tani,” ujar penduduk Presint 16 (P16)
Putrajaya, Md Naseer Md Isa ketika ditanya berkenaan kenaikan harga sayuran.

Katanya, ia disebabkan tiada bayaran kepada orang tengah, pembekal, pengedar, pemborong dan peruncit mahupun kos pengangkutan yang sering dijadikan sebagai alasan untuk menaikkan harga.

Malah, katanya, menerusi tanaman sendiri juga, isi rumah berpeluang menikmati makanan yang ‘selamat’ kerana bebas racun serangga selain berupaya menjana pendapatan sampingan.

“Apabila tanam sendiri, kita boleh terus petik dan makan. Jika ada lebihan, ia boleh dijual seterusnya menjadi sumber pendapatan sampingan.

“Sebagai pengguna dan bercucuk tanam sendiri, saya memang merasakan penjimatan berlaku iaitu, kira-kira separuh yang dibelanjakan di pasar,” jelasnya.

Dia yang juga Pengerusi Kebun Komuniti Bandar (KKB) P16 memberitahu, kawasan yang diusahakan bersama komuniti setempat turut menjadi tumpuan warga Putrajaya sejak harga sayuran dilaporkan meningkat kebelakangan ini.

Malah, katanya, tumpuan disebabkan hasil tani yang diperoleh lebih subur dan segar kerana menggunakan green kit daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

“Kalau sayur berdaun, memang ketara perbezaannya kerana daun lebih hijau berbanding kaedah biasa.

“Kuantiti juga lebih banyak kerana alatan tersebut boleh disusun secara vertikal serta dapat mengisi ruangan kecil dan terhad di kebun,” jelasnya sambil mengakui sangat berbaloi menggunakan green kit.

Bagi Nor Husnizar Hussin yang menjadikan budaya menanam sebagai hobi, dengan adanya kebun ‘sendiri’, sayuran lebih mudah diperoleh terutama semasa Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) dahulu.

Tambahnya yang bermastautin di Putrajaya, kesukaran untuk keluar mahupun kenaikan harga sayuran, tidak menghalang dirinya dan keluarga menikmati hidangan lengkap. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas