Selebriti

Dinobatkan Pelakon Terbaik FFM31, Zul Ariffin jadi inspirasi

|
- Diterbit 17 Disember 2021 7:52 AM MYT

KEJAYAAN pelakon popular Zul Ariffin dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) menerusi filem Sangkar baru-baru ini menjadi inspirasi ramai.

Dia yang tidak pernah jemu berusaha untuk menjadi yang terbaik, kini menjadi perbualan ramai termasuklah di platform media sosial.

Ini kerana, setelah lebih 13 tahun terlibat dalam industri seni, Zul akui ia bukan satu perkara mudah, memandangkan aktor lain yang turut tercalon dalam kategori sama bukan calang-calang.

“Tujuh tahun lalu saya terima Anugerah Pelakon Harapan. Masih ingat lagi ketika di belakang pentas, Datuk Rosyam Nor pernah beritahu ‘kalau tak dapat anugerah (Pelakon Lelaki Terbaik), aku ‘ketuk’ kau dengan trofi ini’. Alhamdulillah, akhirnya nama saya diumumkan.

“Jujurnya ia bukan perkara mudah untuk genggam trofi ini. Selama 13 tahun saya dalam industri dan syukur, kemenangan ini menjadi satu kenangan yang manis,” katanya.

ZUL ARIFFIN

Memegang watak sebagai ahli sukan bela diri campuran (MMA) hingga menjulang namanya sebagai pelakon terbaik, Zul juga tumpang gembira atas kejayaan Remy Ishak dan pengarah, Kabir Bhatia yang turut menerima trofi masing-masing menerusi filem Sangkar.

“Tipulah kalau saya tidak pernah berangan untuk miliki trofi ini. Bila jadi kenyataan, ia sesuatu yang istimewa. Remy dan Kabir pun terima anugerah dalam satu projek yang sama. ‘Beyond special’ bagi saya. Kalau Allah nak bagi rezeki, Dia bagi.

“Nak nama tercalon dalam lima calon akhir pun bukan senang. Malah sebelum ini pun, kalau berlakon mana-mana filem harapnya ada nama tercalon. Kali ini Alhamdulillah ia jadi kenyataan menerusi Sangkar,” ujarnya yang menganggap apa yang diraihnya itu sebagai kejayaan peribadi.

Tambahnya, anugerah yang lain juga istimewa, tetapi trofi Pelakon Lelaki Terbaik hampir mustahil untuk diterima.

FFM31 anjuran FINAS disiarkan secara langsung di TV2 pada 10 Disember lalu dari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas