Berita

Garis panduan permohonan pemeriksaan berkala kenderaan boleh diakses 15 April

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 26 Mac 2024 1:05 PM MYT

GARIS panduan bagi permohonan melaksanakan fungsi pemeriksaan berkala kenderaan bermotor boleh mula diakses bermula 15 April ini menerusi laman web rasmi Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata garis panduan itu mengandungi semua syarat-syarat perkhidmatan, prosedur pemeriksaan, peralatan pemeriksaan, syarat pengoperasian pusat pemeriksaan, perjanjian tahap perkhidmatan dan lain-lain peraturan.

Beliau berkata syarat-syarat perkhidmatan terbahagi kepada tujuh komponen utama antaranya modal berbayar syarikat ditetapkan berjumlah RM10 juta dan mempunyai modal pusingan berjumlah RM5 juta setahun demi menjaga kemampanan perniagaan.

“Pemegang lesen hanya dibenarkan menjalankan semua skop pemeriksaan yang diwajibkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan tidak dibenar menawarkan perkhidmatan pembaikan kenderaan motor, pengubahsuaian, penjualan alat ganti, penjualan kenderaan serta sebarang transaksi yang berkaitan demi menjaga integriti,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata lokasi pembukaan pusat pemeriksaan akan ditetapkan oleh MOT dengan setiap tawaran akan mempunyai dua lokasi merangkumi satu kawasan bandar dan satu kawasan luar bandar.

Pemohon katanya akan diwajibkan membangunkan dan mengoperasikan kedua-dua lokasi secara serentak.

Loke berkata tawaran hanya dibuka kepada syarikat yang berdaftar dan mempunyai lesen dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan daripada pihak berkuasa tempatan atau pihak berkuasa berkaitan, serta syarikat tempatan itu mestilah dalam kategori sendirian berhad atau berhad.

Beliau berkata sekiranya ada syarikat asing berminat untuk menawarkan perkhidmatan berkenaan, syarikat mereka perlu diperbadankan di Malaysia atau menjalinkan usaha sama dengan syarikat tempatan.

Menurut Loke, selepas penilaian teliti, MOT dan JPJ akan memberi satu kelulusan interim kepada mana-mana pihak yang telah dinilai berkelayakan dan akan diperuntukkan hingga 24 bulan bagi tempoh persiapan dan pembangunan.

Beliau berkata mana-mana pihak yang dalam tempoh masa itu didapati gagal melengkapkan semua proses persiapan, akan dibatalkan kelulusan interim tersebut dan tidak akan diberikan lesen.

Bagi pihak yang telah berjaya melengkapkan semua proses pembangunan dan disahkan boleh mula beroperasi oleh JPJ, akan diberikan lesen menjalankan fungsi pemeriksaan kenderaan bermotor untuk tempoh maksimum 10 tahun dengan kebolehan untuk disambung bagi suatu tempoh lain yang akan ditetapkan kemudian.

“Semua pemegang lesen akan diwajibkan menyediakan perkhidmatan sepertimana yang ditetapkan di bawah syarat-syarat lesen serta dengan mematuhi lain-lain arahan yang dikeluarkan MOT atau JPJ di sepanjang tempoh lesen berkuat kuasa.

“Mana-mana pihak yang didapati gagal mematuhi syarat-syarat berkenaan akan dikenakan penalti dan boleh digantung atau dibatalkan lesen yang diberikan sekiranya terdapat pelanggaran syarat lesen,” katanya menambah pemegang lesen juga akan dikenakan bayaran fi bagi setiap lesen yang dikeluarkan.

Beliau berkata semua syarat-syarat yang ditetapkan adalah bertujuan memastikan tahap integriti pemeriksaan, teratur dan berkualiti demi menjamin tahap keselamatan kenderaan dan jalan raya.

Menurut Loke, satu sesi taklimat mengenai syarat-syarat pelesenan dan segala yang berkaitannya dijadualkan pada 23 April depan, dan mana-mana pihak yang berminat menghadiri sesi berkenaan boleh mendaftar dengan mengakses menerusi https://bit.ly/pemeriksaankenderaan.

Pada 17 Mac lepas, Jemaah Menteri memutuskan perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan bermotor akan dibuka kepada mana-mana pihak yang layak sebaik sahaja konsesi Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), tamat pada 31 Ogos ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas