Berita

Politik perpaduan perlu diterap demi keharmonian dan kesejahteraan masyarakat

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 26 Mac 2024 1:00 PM MYT

SEMUA pemimpin parti politik disaran supaya terus mengamalkan politik perpaduan demi menjaga kebajikan dan keharmonian masyarakat, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ramanan Ramakrishnan.

Beliau berkata formula kestabilan politik yang dibawa Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membawa kestabilan dan kesepaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

“Kita perlu bergerak ke depan. Kita perlu menjamin harapan rakyat. Yang penting permasalahan rakyat perlu ditangani secara terurus dan terancang.

“Kini formula ini juga telah diterjemahkan di Parlimen Sungai Buloh, kita semua sentiasa mengutamakan perpaduan yang akhirnya akan memberikan manfaat kepada seluruh rakyat di Parlimen ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh semasa berucap dalam Majlis Penyampaian Bakul Makanan DUN Paya Jaras yang berlangsung di Dewan Pusat Komuniti Desa Paya Jaras Hilir, anjuran UMNO bahagian Parlimen itu.

Pada program itu 250 keluarga kurang berkemampuan menerima bakul makanan bagi mengurangkan beban yang ditanggung dalam persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Terima kasih kepada UMNO Bahagian Sungai Buloh yang sentiasa memberikan kerjasama sokongan kepada saya, termasuk juga Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri. Inilah semangat perpaduan politik demi masa depan rakyat “, katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas