Berita

Gandingan Azizulhasni, Muhammad Shah Firdaus gegar trek Olimpik Tokyo 2020

|
- Diterbit 12 Mac 2020 6:17 AM MYT

KUALA LUMPUR – Malaysia berpeluang untuk mengibarkan Jalur Gemilang di trek basikal pada Olimpik Tokyo 2020 setelah Persekutuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) mengesahkan negara ini sudah meraih dua slot dalam acara keirin dan pecut individu pada temasya itu.

Malaysia bakal beraksi dengan 36 negara lain.

Pengesahan berkenaan disampaikan Ketua Jabatan Trek UCI, Gilles Peruzzi kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menerusi e-mel bertarikh 9 Mac yang turut disalin kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd. Wahab menjelaskan, beliau sudah mengutus sepucuk surat kepada UCI untuk mengetahui status sebenar tentang kedudukan dan penyertaan Muhammad Shah Firdaus Sahrom di Olimpik 2020.

“Kita sebenarnya hanya tahu secara samar-samar. Pada dasarnya kita sudah dimaklumkan oleh MSN (Majlis Sukan Negara) bahawa Mohd Azizulhasni (Awang) sudah layak secara merit dalam dua acara iaitu keirin dan sprint.

“Pada masa yang sama, kita dimaklumkan Muhammad Shah Firdaus juga layak. Istilahnya ialah by nation. Justeru, untuk dapatkan maklumat tepat, PKBM mengutus sepucuk surat kepada UCI.

“Jawapannya diterima pada 9 Mac lalu. Alhamdulillah Malaysia akan diwakili oleh Mohd. Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus pada Sukan Olimpik 2020 nanti,” Abu Samah dalam satu kenyataan dikeluarkan PKBM kelmarin.

Abu Samah yang juga Naib Presiden Kehormat Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) mengakui sangat berbangga dengan pencapaian Mohd. Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus yang meneruskan detik kecemerlangan trek di Olimpik 2008 di Beijing, China dan Olimpik 2012 di London, Britain.

“Sebelum ini kita ada kombinasi Mohd Azizulhasni dan Josiah Ng. Maknanya kita masih mampu teruskan tradisi kecemerlangan dalam acara trek di Sukan Olimpik,” katanya.

Malaysia akan menyahut cabaran benua Asia di Sukan Olimpik 2020 bersama tuan rumah Jepun, Korea Selatan, Hong Kong, China dan Kazakhstan.

Daripada lima negara Asia berkenaan, hanya Malaysia, Jepun dan Hong Kong meraih dua tiket maksimum dalam acara keirin serta sprint.

Sementara itu, pengurus pasukan ke Sukan Olimpik 2020, Datuk Ashakari Abu Noor mengakui sangat teruja berkhidmat untuk Mohd. Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus pada temasya itu nanti.

“Ini kali pertama saya dilantik sebagai pengurus pasukan ke Sukan Olimpik 2020. Saya berikrar akan berkhidmat cemerlang demi memastikan keselesaan Mohd Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas