Berita

Isu bubar Parlimen, ini penjelasan Annuar Musa

ANNUAR diperkenalkan dengan ketua-ketua agensi di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan di Putrajaya pada hari pertama beliau memulakan tugasnya hari ini. Foto NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 11 Mac 2020 10:37 AM MYT

PUTRAJAYA – Kerajaan Perikatan Nasional akan memberikan keutamaan kepada semua kementerian termasuk Kementerian Wilayah Persekutuan bagi memastikan ia dapat menyempurnakan hasrat rakyat.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau berharap semua pihak dapat memberikan peluang kepada kerajaan baharu untuk melaksanakan pelbagai perkara.

“Semua kementerian mesti diberikan keutamaan kerana ini kerajaan yang mesti walk the talk dan deliver, kita ada banyak perkara yang perlu dilaksanakan.

“Mesyuarat Kabinet pertama ini pun panjang kerana banyak perkara yang harus diuruskan, elok beri kita peluang sekejab, yang penting saya perlu dengar dahulu daripada semua jabatan dan lakukan yang terbaik,” katanya kepada pemberita sebelum mendengar taklimat daripada ketua-ketua agensi pada hari pertama memulakan tugas di kementerian hari ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai komen dalam Twitternya, Annuar menjelaskan, setelah kerajaan baharu dapat menyelesaikan pelbagai masalah dan apabila tiba masanya, maka mandat harus diserahkan semula kepada rakyat.

“Kita tidak boleh berpolitik sepanjang masa, kerajaan ini terbentuk kerana kegagalan kerajaan PH, kita mesti utamakan rakyat, peluang harus diberikan kepada Perdana Menteri untuk laksana tanggungjawab yang diamanahkan.

“Kemudian kita tidak boleh lari ke mana pun, kita akan balik kepada rakyat bila sampai masanya,” katanya sambil menjelaskan komen beliau itu sebagai maklum balas kepada pihak yang sekarang baru hendak bercakap soal bubar Parlimen dan mahu buat undi tidak percaya.

Terdahulu dalam Twitternya, Annuar dipetik sebagai berkata; “Setelah kerosakan yang ditinggalkan PH diuruskan dan wabak Covid-19 reda kita harap pintu depan segera dibuka dengan Parlimen dibubarkan seperti mana dari awal dimahukan oleh Muafakat Nasional. Kita serah pada rakyat, sejauh mana rakyat mahu geng bersama DAP ini.”

Sebelum itu, Annuar bersama Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Sri Dr. Santhara menyempurnakan upacara penyerahan tugas masing-masing sambil disaksikan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Rosida Jaafar dan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman.

Hadir sama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A. Dahlan; Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr. Aminuddin Hassim dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman.

Turut hadir Ketua Pengarah PLANMalaysia, Datuk TPr. Mohd. Anuar Maidin; Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, Rotina Mohd. Daik; Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Datuk Che Roslan Che Daud; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu, Datuk Zulkurnain Hassan dan Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Dr. Hasnul Faizal Hushin Amri. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas