Berita

Tidak perlu datang solat Jumaat jika ada simptom Covid-19

ZULKIFLI memimpin doa selepas solat sunat dhuha di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pagi tadi.
- Diterbit 12 Mac 2020 10:10 AM MYT

PUTRAJAYA – Dalam keadaan wabak Covid-19 masih terkawal, solat Jumaat masih boleh diteruskan dengan beberapa syarat antaranya khutbah perlulah dipendekkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, mereka ada simptom Covid-19 tidak perlu hadir solat Jumaat kerana termasuk dalam kalangan orang sakit.

Beliau turut mensyaratkan orang ramai  mengambil wudhuk di rumah lagi.

“Pihak masjid atau jemaah juga wajib menyediakan hand sanitizer dan penutup mulut sebagai langkah pencegahan dan keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zulkifli yang juga Mufti Wilayah Persekutuan berkata, sekiranya penularan wabak itu memasuki tahap tidak terkawal menurut Kementerian Kesihatan, maka solat Jumaat boleh tidak dilakukan tetapi wajib diganti dengan solat Zuhur di rumah masing-masing.

Dalam hal ini, beliau berkata, larangan solat Jumaat itu perlu dikeluarkan pihak pemerintah yang berautoriti seperti Kementerian Kesihatan (KKM).

“Larangan tersebut adalah termasuk juga sebarang bentuk acara dan perhimpunan sama ada rasmi atau tidak,” katanya.

Sebagai garis panduan, katanya, larangan itu juga dilakukan ketika wabak sudah menunjukkan kesannya dan ramai individu yang telah disahkan positif Covid-19 di tempat itu.

“Pihak bertanggungjawab seperti KKM telah menjalankan pemeriksaan yang rapi terhadap jemaah yang menghadiri masjid atau surau dalam tempoh jangkaan penularan wabak,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli memohon peserta yang menghadiri ijtimak tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu agar segera menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah untuk membendung penularan jangkitan Covid-19.

Terdahulu Zulkifli memulakan tugasnya hari ini dengan solat dhuha di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Hadir sama Timbalannya, Ahmad Marzuk Shaary. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas