Berita

Fikirlah: Antara pasca banjir, bantuan dan SOP COVID-19

- Diterbit 12 Januari 2021 1:07 AM MYT

CUACA sejuk’ menyelubungi awal tahun baharu 2021, dengan  hujan, langit mendung dan kabus di kebanyakan tempat di seluruh negara.

Saban tahun, musim tengkujuh yang bermula dari bulan November hingga Mac membawa hujan berpanjangan selama beberapa hari berturut-turut sehingga menyebabkan banjir di beberapa negeri Semenanjung Malaysia.

Namun pada tahun ini keadaannya agak luar biasa kerana mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor turut perlu lebih berjaga-jaga kerana pandemik COVID-19 masih berleluasa.

Bagi yang jauh di pedalaman, sudah tentu amat mencabar untuk menempuh hujan lebat serta paras air semakin tinggi dari kediaman mereka ke pusat pemindahan sementara (PPS), di samping mematuhi penjarakan fisikal.

Bagi mangsa banjir yang berkemampuan, mereka sanggup menyewa inap desa atau menumpang di rumah sanak saudara yang tidak ditenggelami air kerana mahu menjauhi daripada PPS yang menempatkan terlalu ramai mangsa.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menggariskan beberapa kaedah baharu Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam penetapan dan pengendalian PPS ketika banjir yang sebelum ini mungkin tidak mengambil kira aspek penjarakan fizikal.

Antaranya, PPS boleh dibuka di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dan ia perlu dilengkapi kod QR MySejahtera yang perlu digunakan setiap petugas serta mangsa banjir, selain pemeriksaan suhu di pintu-pintu masuknya.

Walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan tiada kes jangkitan COVID-19 di 71 PPS di Kelantan, Terengganu dan Pahang setakat 6 Jan lalu, namun, risiko jangkitan itu masih ada jika prosedur operasi standard (SOP) diabaikan.

Meskipun ada pematuhan SOP dalam menempatkan mangsa banjir di PPS, namun mereka terpaksa berkongsi kemudahan di PPS seperti penggunaan tandas, bilik mandi dan tempat wuduk untuk solat.

Kerisauan terhadap jangkitan COVID-19 itu masih ada, apatah lagi mereka berada di PPS secara beramai-ramai untuk tempoh jangka masa yang panjang, bergantung kepada kesurutan paras air sebelum mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Bagaimana pula jika mereka mula bergejala apabila pulang ke kediaman masing-masing?

Kajian saintis dari Singapore National for Infection Diseases dan Academy of Medicine pada 20 Mei 2020 menunjukkan individu dijangkiti boleh menyebarkan virus itu lebih kurang dua hari sebelum menunjukkan tanda-tanda mengalaminya.

Malah pesakit COVID-19 juga boleh terus menyebarkan virus dalam tempoh tujuh (7) hingga 10 hari selepas mereka mula menunjukkan gejala jangkitan termasuk demam dengan suhu tinggi diikuti batuk berterusan.

Akan tetapi, kerajaan harus menempatkan anggota sukarelawan (Rela) dan tentera untuk sentiasa memantau dan mengawasi mangsa-mangsa banjir di PPS bagi memastikan pematuhan SOP.

Selain itu juga, bagi mangsa yang bergejala, mereka harus diasingkan daripada mangsa lain yang sihat dan segera berpindah ke hospital atau pusat kuarantin berdekatan untuk menjalani saringan COVID-19.

Ketika musim banjir, akan muncul juga pelbagai golongan berprihatin berhasrat untuk menghulurkan bantuan, sama ada badan bukan kerajaan (NGO), wakil rakyat ataupun badan korporat untuk turun padang memberi sumbangan dan melawat kawasan terjejas.

Sudah tentu ramai mangsa banjir berasa teruja jika melihat ada bantuan yang tiba untuk meringankan beban mereka ketika dilanda musibah.

Bagaimanapun, yang merisaukan apabila NGO dan golongan berprihatin yang turun padang menghulurkan bantuan adalah daripada kawasan zon merah, malah kebiasaannya, mereka bergerak dalam satu kumpulan. Apatah lagi jika mereka tidak mengamalkan SOP ketika menghulurkan bantuan!

Sebenarnya, NGO dan golongan berprihatin yang berhasrat untuk menghulurkan bantuan boleh bekerjasama dengan pihak tentera atau Rela di kawasan terjejas bagi membantu mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir.

Langkah ini juga bagi mengelakkan risiko penularan wabak COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir, memandangkan ramai dalam kalangan NGO dan golongan berprihatin adalah dari kawasan zon merah.

Di Terengganu misalnya, kerajaan negeri menetapkan mana-mana NGO yang ingin datang membantu perlu mendaftar dengan pejabat daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat atau balai polis bagi mengenalpasti mereka berasal dari zon mana.

Pada 20 Dis lalu, Ketua Polis Terengganu Roslee Chik dipetik sebagai berkata, individu atau mana-mana NGO dari zon merah COVID-19, tidak digalakkan datang ke negeri itu untuk menghantar bantuan kepada mangsa banjir berikutan petugas mereka masih mencukupi.

Negeri yang terlibat dalam bencana banjir seperti Kelantan, Pahang, Johor dan Melaka mungkin boleh melaksanakan SOP sedemikian bagi mengelakkan daripada terlalu ramai individu dan NGO yang datang menghulurkan bantuan sekali gus pembaziran berlaku akibat lambakan bekalan makanan yang berlebihan.

Setiap kali selepas berlakunya banjir, apa yang lebih membimbangkan bukannya bekalan makanan yang tidak mencukupi tetapi kerosakan harta benda dan tanamam di kediaman yang terjejas.

Bukan semua mangsa banjir mempunyai pengalaman menghadapi bencana alam itu hampir setiap tahun, ada dalam kalangan mereka mungkin merupakan kali pertama berhadapan dengan rumah mereka yang ditenggelami air.

Sudah tentu dalam keadaan darurat dan kecemasan, ada yang hanya sempat menyelamatkan diri sehelai sepinggang, malah banyak barang berharga dan dokumen pengenalan diri tidak sempat diselamatkan dan mungkin musnah.

Apa yang diharapkan oleh mangsa banjir sebenarnya bukannya hanya bekalan makanan sahaja, tetapi bantuan pasca banjir seperti membersih serta membaiki rumah yang rosak serta mendapatkan pembaharuan dokumen penting yang hilang.

Bagi premis perniagaan pula, sudah tentu pemiliknya terpaksa menanggung kos kerugian amat besar akibat kerosakan barangan mereka selepas banjir.

Seperti mana ketika PKP, beberapa bank juga turut menawarkan moratorium kepada mangsa banjir dalam pembayaran pinjaman mereka bagi meringankan beban.

Kerajaan juga boleh menimbangkan untuk memberi pengecualian bayaran yang perlu dibuat untuk menggantikan kerosakan dokumen penting seperti kad pengenalan, sijil lahir dan geran tanah atau kediaman yang rosak akibat banjir.

Jangan lupa juga ketika pasca banjir juga, haiwan seperti ular dan biawak yang lain bersembunyi di rumah dan pokok  dan ini turut perlu diuruskan oleh pasukan bomba dan penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Selain itu, sekiranya kerja pembersihan tidak dilakukan secepat mungkin selepas air banjir surut, sampah- sarap yang dibawa air banjir dikhuatiri boleh menakung air yang kemudian menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dipetik laporan berita pada 2 November 2019 berkata risiko demam denggi dan penyakit bawaan air seperti penyakit tifoid dan kolera akan meningkat terutamanya selepas banjir.

Oleh itu, langkah berjaga-jaga perlu diambil secepat mungkin bagi mengurangkan risiko berlakunya peningkatan demam denggi dan penyakit bawaan air susulan banjir di beberapa buah negeri sejak minggu lepas. – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas