Berita

Fasa pemulihan bermula Rabu ini, 7 strategi utama jadi panduan

- Diterbit 7 Jun 2020 8:11 AM MYT

KERAJAAN secara rasmi telah mengumumkan fasa baharu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos ini, berdasarkan Tujuh Strategi Utama yang digariskan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, strategi tersebut merangkumi pelbagai aspek menjadi garis panduan penting ke arah pemulihan negara daripada penularan Covid-19.

Beliau berkata sejak PKP dan PKPB dilaksanakan kadar jangkitan Covid-19 menunjukkan trend semakin menurun di mana statistik Kementerian Kesihatan memperlihatkan kadar jangkitan dalam kalangan rakyat tempatan semakin rendah dan terkawal.

“Kerajaan akan laksanakan PKPP ini berteraskan 7 Strategi iaitu Pengukuhan Kesihatan Awam; Perundangan dan Penguatkuasaan; Pengukuhan Kawalan Sempadan; Pembukaan Sepenuhnya Sektor Ekonomi; Pembudayaan Kebiasaan Baharu; Pemerkasaan Tanggungjawab Komuniti; dan Pelindungan Golongan Berisiko.

Intisari Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)

Strategi ini dilaksanakan melalui Jawatankuasa  Khas Menteri Mengenai Pelaksanaan PKPP yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan Pertahanan.

“Manakala di peringkat kerajaan negeri, strategi ini dilaksana melalui jawatankuasa diwujudkan oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri,” katanya dalam Perutusan Khas mengenai Perintah Kawalan Pergerakan disiarkan secara langsung di beberapa saluran televisyen tempatan.

Muhyiddin menegaskan, pelaksanaan strategi ini pastinya memerlukan kerjasama dan sokongan semua pihak termasuk jentera kerajaan pusat dan negeri, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan serta pemimpin dan ketua komuniti.

“Sejak PKP dilaksana 3 bulan lalu, kerajaan telah melaksanakan pelbagai strategi dan langkah yang wajar dalam menangani dan membendung wabak Covid-19. Banyak kawalan dan sekatan dikenakan.

“Hari ini saya ingin mengucapkan syabas kepada petugas barisan hadapan dan anda semua yang telah menyumbang bagi kejayaan membendung wabak Covid-19. Kejayaan ini adalah kejayaan anda semua hasil kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa dengan mematuhi semua SOP yang ditetapkan selama ini,” ujarnya.

Sehubungan itu kata Perdana Menteri, satu berita  agak melegakan semua iaitu PKPB akan berakhir pada 9 Jun 2020 akan digantikan dengan PKPP  bermula pada 10 Jun 2020 hingga 31 Ogos 2020.

“Dalam tempoh PKPP, lebih banyak kelonggaran diberi kepada saudara-saudari untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian di samping mematuhi SOP secara berterusan.

“Mulai 10 Jun 2020, perjalanan rentas negeri akan dibenarkan kecuali di kawasan diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau PKPD. Jadi, bagi mereka yang ingin menziarahi ibu-bapa yang tinggal berjauhan di negeri lain bolehlah berbuat demikian,” katanya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas