Berita

Dua buah kilang memproses kayu di Jalan Batu 5, Kuala Ketil dekat Baling, musnah hampir 70 peratus akibat kebakaran

- Diterbit 12 Mac 2021 4:31 AM MYT

DUA buah kilang memproses kayu di Jalan Batu 5, Kuala Ketil dekat Baling, musnah hampir 70 peratus akibat kebakaran yang berlaku sejak petang semalam dan hingga tengah hari ini kerja-kerja pemadaman masih berlangsung.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.53 petang dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 12 minit kemudian.

“Sebaik tiba, didapati dua buah kilang sedang terbakar dengan keadaan api marak dan besar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata setakat pagi tadi, kerja pemadaman melibatkan kebakaran material dalaman bangunan.

“Setakat ini, kerja-kerja pemadaman kebakaran telah berlangsung kira-kira 19 jam,” katanya, menambah tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Katanya operasi melibatkan 25 anggota bomba selain dibantu pihak Tenaga Nasional Berhad, polis dan pengurusan estet. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas