Berita

Seorang kerani syarikat swasta mendakwa mengalami kerugian lebih RM81,000

- Diterbit 12 Mac 2021 4:35 AM MYT

SEORANG kerani syarikat swasta mendakwa mengalami kerugian lebih RM81,000 selepas terpedaya dengan penawaran perniagaan tidak wujud dan memenangi nombor ramalan berjumlah RM700,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata wanita berusia 34 tahun itu mendakwa telah dihubungi seorang lelaki pada Oktober tahun lepas yang menawarkan untuk membantu mangsa memenangi nombor ramalan dan menjadi rakan kongsi suspek bagi perniagaan di Thailand.

Menurut beliau, mangsa yang telah bersetuju dengan tawaran tersebut telah diminta untuk membuat bayaran sembahyang, yuran guaman dan bayaran modal perniagaan.

“Pada 26 Okt hingga 15 Dis tahun lepas, mangsa telah memasukkan wang ke dalam tiga akaun bank berbeza berjumlah RM81,053 melalui 25 transaksi.

“Suspek telah meminta bayaran sebanyak RM4,500 lagi, bagaimanapun mangsa enggan menyerahkannya. Mangsa lewat membuat laporan polis kerana masih menunggu wang yang dijanjikan sebelum berasa tertipu dan membuat laporan semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Wazir berkata siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas