Berita

Dua beradik sebatang kara berhenti sekolah

PIHAK sekolah bertemu salah seorang pelajar yang hidup sebatang kara di sebuah rumah kedai di Taman Maluri baru-baru ini.
- Diterbit 5 September 2019 9:10 AM MYT

KUALA LUMPUR – Sudah jatuh ditimpa tangga. Demikian keadaan dua adik beradik yang hidup sebatang kara di Taman Maluri di sini selepas ayahnya meninggal dunia akibat penyakit kanser hati pada Mei lalu.

Lebih menyedihkan apabila, ibu yang merupakan warga Indonesia pulang ke kampung halaman selepas bercerai.

Ekoran desakan hidup, kedua-dua beradik terpaksa berhenti sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Cochrane di sini sedangkan pada tahun ini mereka perlu menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

Menurut sumber, abang yang berusia 17 tahun terpaksa keluar mencari kerja demi menanggung kehidupan mereka berdua dan membayar rumah sewa.

“Adik pula tidak hadir ke sekolah untuk menduduki peperiksaan PT3 kerana bangun lambat. Mereka tiada orang dewasa yang memantau.

“Ibu pula suruh mereka sewakan bilik-bilik rumah kepada golongan pendatang manakala duit hasil dihantar kepada ibunya di Indonesia dan hanya RM100 diberikan untuk belanja bulanan mereka,” katanya.

Sumber memberitahu, pada masa ini, nombor telefon yang digunakan ibu kedua-dua beradik berkenaan tidak dapat dihubungi kerana disenarai sebagai nombor persendirian dan tertera ‘unknown’.

Tambah sumber, kedua-dua beradik tersebut kini dibantu oleh guru-guru sekolah.

Justeru katanya, diharapkan pihak berwajib termasuk Ahli Parlimen Titiwangsa dapat memberi sumbangan dan membantu adik-beradik terbabit untuk menyambung pelajaran serta mendapatkan perlindungan sewajarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas