Berita

Sedia simpanan untuk pendidikan

MASTURA
- Diterbit 5 September 2019 9:08 AM MYT

SEBELUM ini ramai siswazah berasa terbeban dengan bayaran balik pinjaman pelajaran Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN). Keadaan itu menyebabkan banyak pihak menyalah anggap tentang kewujudan perbadanan tersebut sedangkan ia berperanan besar dalam membantu pelajar untuk melanjutkan pengajian ke universiti.

Bagaimanapun, tidak ramai menyedari bahawa PTPTN kini menjadi institusi yang penting untuk orang ramai membuat tabungan melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) sebagai persediaan untuk anak-anak mereka melanjutkan pelajaran pada masa depan.

Ikuti temubual Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN, MASTURA MOHD. KHALID bersama Pengarang Wilayahku, HELMI MOHD. FOAD mengenai perkara tersebut.

Sempena Bulan Kemerdekaan ini, apakah pandangan tentang pentingnya pendidikan kepada generasi muda?

MASTURA: Apabila sesebuah negara itu merdeka, ia hendak rakyat atau generasi baharu untuk terus jadi maju. Jadi PTPTN adalah satu saluran tempat untuk terjemahkan misi negara hendak jadikan rakyatnya sebagai modal insan modal yang tinggi dan minda kelas pertama.

Kalau hendak belajar, PTPTN menyediakan pinjaman untuk mereka. Itulah juga yang membantu kalangan orang susah tetapi mereka adalah anak-anak cemerlang dalam pendidikan dan mempunyai wawasan serta cita-cita untuk maju. Dengan PTPTN membolehkan mereka melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) bagi mencapai cita-cita mereka dan membawa keluarga mereka keluar dari­pada kepompong kemiskinan atau merdeka daripada kemiskinan.

Pada masa sama, kita hendak mereka tidaklah terus terbelenggu dengan pinjaman PTPTN, kita ada produk simpanan SPPN-i yang mana ini perlu dilihat oleh kita semua yang berada di negara ini memang peluang untuk belajar dan membuat simpanan ada macam-macam pilihan.

Sejauh mana kesedaran ibu bapa dalam membuat simpanan SSPN-i untuk anak-anak mereka?

MASTURA: SSPN-i adalah satu pilihan ibu bapa untuk pastikan anak-anak nanti bila hendak belajar tidak perlu lagi meminjam dan berhutang, bebas atau merdeka hutang. Jadi menyimpan daripada sekarang, sejak anak mula dilahirkan, kalau boleh bila sudah dapat MyKid boleh terus boleh buka akaun SSPN-i.

Bila mencapai usia 18 tahun, dia ada sejumlah simpanan, kalau tidak boleh tampung pengajian sehingga empat tahun sekurang-kurangnya tahun pertama dan kedua. Selebih­nya baru pinjam daripada PTPTN. Misal­nya kalau hendak belajar kosnya RM60,000 tetapi kalau sudah ada simpanan untuk anak RM20,000 maka RM40,000 sahaja dipinjam daripada PTPTN.

Maka tidak terbeban pada masa hendak bayar balik nanti. Satu lagi keistimewaan SSPN-i ada perlindungan takaful. Kalau simpan RM100 sebulan dan terus menyimpan dengan minimum RM1,000, kita bayar premium untuk takaful. Kalau simpan daripada umur setahun hingga 10 tahun, sekiranya berlaku kematian ibu bapa, takaful SSPN-i akan memberikan manfaat ringgit ke ringgit. Maksudnya 10 tahun menyimpan, kalau simpan RM2,000 setiap tahun, jadi sudah ada RM20,000 simpanan dan manfaat takaful akan diterima sebanyak RM20,000. Maknanya anak tersebut mempunyai RM40,000 untuk melanjutkan pengajian.

Sekiranya ibu bapa meninggal dunia, anak yang ditinggalkan itu tidak terkapai-kapai untuk mencari bagaimana untuk menampung kewangan untuk belajar.

Setakat ini sudah berapa banyak jumlah tabungan?

MASTURA: Sekarang kita telah ada empat juta akaun SSPN-i yang telah dibuka sejak dilancarkan pada tahun 2004. Sebenarnya kita telah 15 tahun tetapi baru ada empat juta akaun dengan jumlah kutipan sebanyak RM4.9 bilion. Bandingkan dengan jumlah peminjam, kita ada sebanyak tiga juta orang. Memang ibu bapa sudah sedar sejak kita kempen beberapa tahun terakhir ini. Malah kalau lihat pada masa ini trend orang meminjam agak menurun dan bila ada kemasukan seperti September ini, kita lihat trend pengeluaran SSPN-i juga tinggi. Ini menunjukkan bahawa orang yang menyimpan beberapa tahun lalu, sekarang sedang menuai hasil simpanan dan pengorbanan mereka.

Jadi mereka tidak meminjam dengan PTPTN lagi?

MASTURA: Pinjam tetapi mung­kin sedikit. Kita kadang-kadang bila hendak masuk universiti, satu yuran dan satu lagi tentang perbelanjaan untuk masuk ke IPT. Contohnya bila dapat surat tawaran kita duduk di Wilayah Persekutuan tetapi dapat belajar di Sabah, sudah semestinya selain membeli pakaian, membuat persiapan dan juga perlu membeli tiket penerbangan.

Dengan ada simpanan, boleh buat persediaan terlebih dahulu. Kalau tidak banyak simpanan boleh dibuat untuk persiapan dan bayaran yuran semester pertama.

Dari segi simpanan, SSPN-i sebenarnya boleh serendah RM1 sehari dan mempunyai dividen yang kompetitif dibandingkan simpanan di institusi kewangan tetapi jangan dibanding dengan institusi pelaburan. Kita telah beberapa tahun memberikan dividen 4 peratus dan pernah beri 4.25 peratus. Jadi tepuk dada tanya selera hendak simpan di mana.

Tetapi saya percaya orang di Wilayah Persekutuan ramai yang mempunyai pendapatan yang baik dan dari golongan pembayar cukai. Jadi simpanan dalam SSPN-i diberi pelepasan taksiran cukai hingga RM8,000 setahun. Kalau dulu RM6,000 tetapi mulai tahun ini RM8,000. Dengan syarat kita tidak buat pengeluaran, kira simpanan bersih. Istimewanya kalau ibu bapa buat taksiran berasingan, ibu boleh tuntut RM8,000 dan bapa boleh tuntut RM8,000 tetapi masing-masing perlu buka akaun untuk anak-anak. Ini bukan bermakna kita larikan diri daripada cukai tetapi merancang cukai.

Orang ramai juga tidak perlu risau kerana SSPN-i adalah produk yang patuh syariah. Walaupun 15 tahun produk SPPN-i tetapi jumlah pemegang akaun keseluruhannya empat juta akaun, jadi untuk menggalakkan masyarakat menabung kami memerlukan program promosi dan tawaran banyak hadiah dan sebagainya.

Oleh itu, kita ada program Cabutan Hadiah SSPN-i bagi tahun 2019, kita ada cabutan sempena 15 tahun dan kita ada cabutan WOW SSPN-i Plus. Kita ada hadiah wang tunai lebih RM150,000 dan hadiah utama cabutan WOW SSPN-I Plus ada hadiah kereta Proton X70 Premium. Jadi rebutlah peluang ini.

Untuk produk SSPN-i, simpanan RM100 melayakkan untuk satu cabutan, jadi dengan RM8,000, dia ada 80 peluang untuk menang. Dapat duit macam-macam, siapa hendak beri.

Difahamkan ada insentif terbaru majikan yang hendak bayar balik pinjaman PTPTN untuk kakitangan mereka?

MASTURA: Tahun ini istimewanya kita memberikan galakan kepada majikan untuk membuat bayaran balik pinjaman PTPTN kakitangan mereka. Mereka mestilah kakitangan sepenuh masa, jadi boleh buat bayaran balik. Ia bukan potongan gaji bulanan, tetapi majikan yang berbelanja. Mungkin mereka tengok ini adalah kakitangan yang sangat berpotensi, sayangkan dia dan tidak mahu dia pergi ke syarikat lain, majikan hendak kekalkan dia, jangan risau kita bayar balik pinjaman PTPTN. Mungkin boleh sebahagian atau semuanya, boleh bayaran secara bulanan atau sekali gus, tiada had minimum atau maksimum.

Jadi di pihak pekerja pula mereka berasa sebahagian atau sepenuhnya pinjaman PTPTN mereka telah dibayar, mereka tidak perlu risau. Sebagai balasan, sudah semesti dia berikan kerja berprestasi, produktiviti yang tinggi kepada syarikat dan sudah tentu akan setia kepada syarikat. Syarikat pula akan dapat potongan cukai.

Setakat ini bagaimana dengan sambutan majikan?

MASTURA: Kita baru me­mulakan perkara ini pada Ogos lalu, kita mula jalankan kempen secara intensif. Kita telah menghubungi dan adakan engagement dengan majikan-majikan, kita adakan promosi dan makluman dengan majikan. Setakat ini kita sudah ada terima pertanyaan daripada majikan-majikan yang ingin mengetahui insentif ini.

Saya percaya majikan yang menghargai kepada sumber manusia dan berkemampuan sudah pasti akan mengambil peluang daripada insentif ini. Ini melibatkan mana-mana syarikat yang membayar cukai dan kalau ada badan-badan berkanun yang membayar cukai pun tiada masa­lah kerana syaratnya di bawah Akta Cukai Pendapatan.

Jadi itulah yang kita harap dapat membantu membebaskan kakitangan berkenaan daripada beban hutang.

Bagaimana dengan proses mengutip semula bayaran pinjaman PTPTN?

MASTURA: Dari segi polisi kutipan balik pinjaman masih kekal kerana kita belum ada mengumumkan sebarang dasar baharu. Namun kita lihat mereka yang bertanggungjawab masih terus membuat bayaran balik. Sekiranya tidak mampu masih boleh datang dan ambil peluang berunding dengan PTPTN. Saya rasa ini adalah masa sesuai kerana pada awal September ini adalah tempoh kemasukan pelajar baharu yang akan memulakan kursus peringkat Ijazah Sarjana Muda di universiti-universiti awam.

PTPTN mengucapkan mereka selamat melangkah ke alam universiti.

Semoga mereka akan berjaya mencapai cita-cita dan ingatan saya kepada mereka sekiranya perlukan pinjaman mereka perlu buat permohonan secara online tidak lewat daripada 31 September ini.

Sekiranya tidak dapat menghantar permohonan dalam tempoh tersebut, mereka perlu menunggu pada semester akan datang.

Jadi mungkin akan timbul kesulitan kepada mereka. Mereka boleh membuat permohonan pinjaman PTPTN sekiranya perlu. Ini bagi memastikan kelulusan diberikan dengan cepat. Kalau tutup 30 September kita akan keluarkan kelulusan pada Oktober dan akhir Oktober dapat pembayaran pertama. Harap pelajar akan menggunakan wang pinjaman itu dengan sebaik-baik­nya.

Kebiasaannya kita memberikan kelulusan kepada 180,000 pelajar setiap tahun termasuk IPTS. Keseluruhannya kita perlu peruntukkan sebanyak RM3.5 bilion setiap tahun.

Bagaimana hendak mengubah persepsi PTPTN sebenar­nya tempat untuk menabung?

MASTURA: Kita mempunyai iltizam sangat kuat kerana pendidikan penting kepada mana-mana negara. Kerana tanpa pendidikan tidak pergi ke mana. Jadi PTPTN hendak pastikan orang boleh belajar. Dulu kalau hendak belajar ingat PTPTN, ingat pinjam tetapi bila bab bayar balik tidak pernah sebut.

Seterusnya pada tahun 2015, kita berusaha menukar persepsi masyarakat daripada melihat PTPTN sebagai tempat untuk meminjam menjadikannya sebagai tempat menyimpan duit. Sebab itu kita sudah tukar logo PTPTN Tabung Pendidikan.

Kita ada tabung sebanyak RM3 bilion dan orang ramai pula menabung duit mereka. Kita pula tolong melabur, orang hendak dividen. Boleh keluar masuk atau tambah simpanan.

PTPTN sendiri merupakan tabung, kita ada duit hendak beri kepada A,B,C dan D, pinjamlah pergi masuk universiti tetapi bayarlah balik masuk dalam tabung ini sebab kita hendak beri pula kepada orang lain pula untuk masuk universiti. Sebenarnya kita boleh lihat dari dua sudut iaitu menabung untuk diri sendiri hendak guna nanti dan PTPTN sebagai tempat simpanan supaya dapat pulangan dan satu lagi tabung ada duit yang kerajaan sediakan untuk membantu tetapi duit itu perlu dipusingkan supaya lebih ramai dapat manfaat.

Kadang-kadang ada yang tidak bayar sekarang sampai anak pula hendak masuk universiti. Jadi kita hendak orang membuka minda merdeka daripada dibelenggu pinjaman tapi kembangkan duit melalui simpanan. Kalau naik gaji RM100 sepatutnya ambil konsep simpan dulu, simpanlah dalam SSPN-i.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas