Berita

Dikaitkan berkahwin dengan Nora, “Bulan Ramadan pun orang buat fitnah” – Annuar Musa

- Diterbit 29 April 2021 1:53 PM MYT

KECOH dalam media sosial apabila Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa dikatakan kononnya mempunyai hubungan istimewa dan bakal berkahwin dengan penyanyi, Datuk Nora Ariffin.

Terkejut dengan fitnah yang disebarkan, Annuar tidak mahu melenting dan berharap apa yang berlaku selepas ini tidak dikaitkan dengan orang lain.

“Masya Allah, saya beristighfar sajalah. Saya ni orang politik, tak apalah kalau kawan-kawan nak fitnah sikit-sikit. Kalau melibatkan orang lain, kena jaga nama baik orang lain.

“Orang yang disebutkan itu (Nora) setahu saya adalah keluarga yang cukup terhormat. Saya kenal sepenuhnya latar belakang mereka.

“Kalau nak buat fitnah, saya seorang sajalah. Jangan kaitkan dengan orang lain. Dia ada keluarga,” katanya kepada Wilayahku.

Annuar ditemui pada Majlis Silaturrahim dan berbuka puasa di Maahad Tahfiz Integrasi Madinatul Huffaz, Batu Caves, Selangor.

Annuar juga berpesan kepada orang ramai agar memanfaatkan bulan Ramadan dengan perkara-perkara berfaedah.

“Walaubagaimanapun saya doakan, mudah-mudahan semua orang ambil iktibar di bulan Ramadan ini. Kurangkanlah perkara-perkara mungkar tu. Buatlah perkara kebajikan.

“Saya pun tak nak marah-marah. Kita elok sabar sajalah. Saya bila tengok benda tu, tengah malam semalam, memanglah tak sedap hati.

“Telah disebut (dalam hadis) ‘Fitnah itu lebih bahaya daripada membunuh’. Membuat fitnah itu kesannya lebih bahaya daripada membunuh.

“Tapi orang kita tak takut. Kalau membunuh’ mereka tahu hukumnya bunuh balik, hukum gantung dan sebagainya.

“Tapi fitnah ni dah jadi kerja harian. Bulan Ramadan pun buat fitnah. Tapi kita nak marah macam mana. Kita doa supaya semua orang terbuka pintu hati tak payahlah buat perkara sebegitu. Saya okay saja,” tambahnya lagi yang berharap orang ramai tidak menjadikan dosa besar  fitnah sebagai amalan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas