Berita

“Malaysia Prihatin bantu golongan susah secara telus” – Zara Zya

- Diterbit 29 April 2021 8:35 AM MYT

 

NIAT murni pelakon popular Zara Zya untuk membantu rakyat semakin dipermudahkan apabila laman web Malaysia Prihatin.com mendapat sokongan ramai artis mahu pun masyarakat.

Menurut Zara Zya atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin,36, Laman web itu diwujudkan bagi memudahkan orang ramai untuk menyumbang dan mencari badan kebajikan yang memerlukan.

“Malaysia Prihatin ini membantu golongan susah atau memerlukan secara telus.

“Dengan adanya laman web ini, ia sebenarnya lebih memudahkan sesiapa sahaja yang mahu menyalurkan sumbangan atau dana.

“Sistem ini lebih telus sebab kadang-kadang orang nak berikan zakat, jadi kena ada saluran betul. Kadang-kadang nampak iklan di mana-mana dan bagi nombor akaun, kita tidak tahu sama ada ia nombor peribadi atau bukan.

“Di laman web ini kami beri resit atau bukti pembayaran sumbangan walaupun hanya RM1.

“Menyentuh tentang kemudahan yang ada dalam laman web ini, bagi sesiapa yang ingin menderma, boleh ke laman web itu dan pilih kepada golongan mana mahu disalurkan bantuan itu.

“Antara kategori untuk sumbangan ini adalah kemanusiaan, perubatan, pendidikan, bencana, selebriti dan keagamaan,” katanya yang juga berwaspada dengan pelbagai penipuan alam maya yang sering berlaku sekarang.

“Dalam masa yang sama, pihak kami juga tapis juga adakah pihak yang susah atau perlukan bantuan itu betul-betul telus. Kalau tak, tidak terima.

“Kalau macam Badan Bukan Kerajaan (NGO), kita perlukan butiran pendaftaran syarikat (ROS) dan kalau individu pula kita akan siasat latar belakang,” jelas Zara Zya kepada Wilayahku pada majlis Selebriti Prihatin Bersama Rumah Bakti Al-Kausar di Jakel Shah Alam, Selangor.

Dalam acara ini, Zara Zya bersama artis-artis lain iaitu Fara Fauzana dan Jihan Muse membawa lebih 30 anak yatim membeli pakaian raya yang diidamkan mereka.

Perbelanjaan mereka ini menggunakan dana yang disalurkan oleh orang ramai melalui laman web Malaysia Prihatin.com.

“Alhamdulillah.. saya rasa seronok apabila Fara dan Jihan sanggup turun bersama-sama saya untuk meraikan anak-anak yatim membeli baju raya kegemaran mereka.

“Dengan adanya rakan artis, mereka boleh sebarkan lagi kebaikan laman web ini.

“Hanya tuhan sahaja yang tahu perasaan saya apabila melihat wajah gembira anak-anak yatim. Apa yang penting, ini antara saham akhirat kepada semua yang memberikan dana untuk mereka,” luahnya lagi.

Antara artis lain atau icon celebrity yang turut menyokong laman web ini adalah Datuk Aaron Aziz, Baby Shima, Achey, Zulin Aziz, Ippo Hafiz, Dynas Mokhtar, Umno Nazeera, Rozita Che Wan, Daniel Zaini, Ezad Lazim dan ramai lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas