Berita

Lima syarikat telekomunikasi setuju lanjutkan pemberian 1GB data harian percuma sehingga 31 Julai ini

- Diterbit 30 April 2021 3:47 AM MYT

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mendapat persetujuan lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama iaitu Celcom, Digi, Maxis, U-Mobile dan Telekom Malaysia (TM) untuk melanjutkan pemberian 1GB data harian percuma kepada semua pelanggan masing-masing sehingga 31 Julai 2021.

MCMC dalam kenyataan hari ini berkata pemberian data percuma 1GB secara harian sejak April tahun lepas itu bertujuan membantu rakyat menghadapi norma baharu digitalisasi ketika dilanda pandemik COVID-19.

Katanya, ia sepatutnya tamat pada 30 April lepas, namun, telah dilanjutkan beberapa kali.

“Lanjutan terbaharu ini dibuat sebagai sokongan tambahan kepada rakyat atas ihsan dan keprihatinan syarikat-syarikat telekomunikasi memandangkan situasi COVID-19 di negara ini masih belum stabil, lebih-lebih lagi untuk membantu pelajar sekolah beralih semula kepada Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selepas Aidiltri seperti diumumkan Kementerian Pendidikan baru-baru ini,” katanya.

Kuota harian 1GB percuma adalah tambahan kepada pakej langganan data sedia ada dan boleh digunakan untuk mengakses platform sidang video serta menguruskan bahan-bahan pengajaran menerusi e-mel sepanjang hari tanpa sekatan waktu.

Bagaimanapun, MCMC berkata ia tidak terpakai untuk melayari media sosial, penstriman video, penstriman muzik dan permainan dalam talian.

Sementara itu, YTL Communications Sdn. Bhd. (YTL) juga terus menyokong sistem pendidikan dengan melanjutkan inisiatif Learn From Home (LFH) sehingga 30 September 2021 dan turut merangkumi penuntut institusi pengajian tinggi

Pakej istimewa itu menyediakan kad SIM percuma dengan data sebanyak 40GB, kandungan percuma dan telefon pintar percuma untuk pelajar daripada keluarga B40.

MCMC berharap lanjutan pemberian 1GB data percuma harian dan sokongan lain yang disediakan akan memberi kelegaan kepada rakyat untuk menghadapi perubahan norma baharu dalam pendidikan, pekerjaan dan sebagainya.

Menurutnya, kerajaan akan terus menggerakkan inisiatif-inisiatif seperti Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan Pelan Tindakan MyDIGITAL untuk memastikan agenda pembangunan yang berteraskan digitalisasi dilaksanakan secara inklusif tanpa ada golongan yang terpinggir. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas