Berita

DBKL wujud pasukan petugas khas selesai isu perumahan berstrata

DATUK Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.
- Diterbit 19 Mei 2022 9:22 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mewujudkan pasukan petugas khas dalam tempoh terdekat bagi menangani masalah perumahan berstrata.

Masalah tersebut termasuk isu yang melibatkan Badan Pengurusan Bersama (JMB), kebersihan, penyelenggaraan lif dan pengurusan yang akan diselesaikan segera.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, pihaknya akan mengambil langkah segera melibatkan JMB termasuk melantik agen pengurusan untuk menggantikan pemaju yang tidak bertanggungjawab sekiranya ada keperluan.

“Ini kerana ia merupakan satu masalahg yang agak lama berbangkit dan sehingga kini yang masih belum diselesaikan.

“Oleh itu kita (DBKL) kita perlu ambil langkah segera agar masalah itu dapat diselesaikan agar warga kota selesa untuk menetap di Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Semarak Aidilfitri anjuran DBKL di Institut Latihan DBKL di Bandar Tun Razak disini hari ini.

Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar.

Ditanya mengenai masalah penduduk berkenaan masalah tekanan air rendah sebuah pangsapuri Residensi Awani 2, Kampung Batu Muda, Sentul sejak Ramadan lalu, Mahadi berkata, beliau akan menghantar satu pasukan untuk mengkaji punca sebenar yang berlaku.

“Sekiranya perlu DBKL akan memberikan bantuan dengan menyediakan kemudahan pam air bagi menyalurkan air kepada unit yang terlibat,” katanya sambil menambah DBKL akan melantik agen pengurusan bagi menggantikan JMB yang tidak ditubuhkan di kondominium tersebut.

Dalam pada itu, Mahadi berkata setiap pemaju berstrata dikehendaki menubuhkan JMB dalam tempoh setahun selepas tempoh Sijil Layak Menduduki (CF) dikeluarkan.

“Kita akan lihat semula dari tarikh CF dikeluarkan dan sekiranya pemaju tidak comply, kepada peraturan itu, tindakan selanjutnya akan diambil,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas