Berita

Mat kilau temui penonton Jun ini

FILEM hebat ini bakal menemui penonton bermula 23 Jun depan. FILEM hebat ini bakal menemui penonton bermula 23 Jun depan
- Diterbit 16 Mei 2022 3:50 AM MYT

KARYA terbaharu pengarah berprolifik, Syamsul Yusof iaitu Mat Kilau bakal menemui penonton pada Jun hadapan.

Penerbitnya, Shahruddin Dali berkata poster rasmi bagi filem berkenaan telah dikeluarkan pada 13 Mei lalu di semua laman sosial.

“Bagi trailer rasmi pula ia akan ditayangkan secara rasmi pada 16 Jun ini.

“Filem hebat ini bakal menemui penonton bermula 23 Jun depan di 90 pawagam seluruh negara,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Beliau berkata karya terbaharu yang diterbitkan oleh Studio Kembara ini membentangkan sejarah penting dalam filem biografi epik, Mat Kilau.

“Latar perjuangan Mat Kilau disifatkan amat berharga bukan sekadar untuk mencetak rekod di dunia hiburan, tetapi juga mahu berkongsi kehebatan dan jati diri pahlawan dalam menyelamatkan negara kepada generasi masa kini.

“Aktor Datuk Adi Putra diberi tanggungjawab menghidupkan darah pahlawan Mat Kilau Imam Rasu atau Mat Kilau. Beliau kemudian dibantu dengan barisan pelakon yang bukan calang-calang.

“Ini termasuklah Wan Hanafi Su sebagai ayah Mat Kilau iaitu Tok Gajah, Beto Kusyairy (Wahid), Khir Rahman (Usup), Fattah Amin (Awang), Johan As’ari (Yassin) dan aktor aksi handalan Indonesia, Yayan Ruhian sebagai Toga,” jelasnya karya Mat Kilau ini turut dikuatkan dengan barisan aktor dan aktres terbaik tanah air seperti Datuk Jalaluddin Hassan, (Hj. Muhammad), Datuk Rahim Razali, (Imam Bottoqh) Namron, (Hj. Sulong), Shaharuddin Thamby, (Datuk Bahaman) dan Ellie Suriaty, (Ibu Yassin).

Tambahnya lagi filem mengenai seorang pahlawan Melayu Mat Kilau bersama ayahandanya Tok Gajah dan sahabat-sahabatnya, bangkit menentang penjajahan British ini menelan belanja RM8 juta, di mana penggambaran dijalani selama 100 hari dengan sebahagiannya dijalankan di Perak dan beberapa lokasi lain termasuk Pahang, Melaka serta Selangor.

“Sebagai penerbit kami berharap seluruh masyarakat Malaysia menonton filem ini dan terhibur.

“Filem arahan Syamsul Yusof ini akan membawa kita kembali ke zaman tersebut, merasai kepayahan, keberanian, pengorbanan dan jiwa kepahlawanan yang ada dalam memperjuangkan tanah air kita. Ini adalah sebuah sejarah yang sangat memberi inspirasi,” katanya.

Pastikan anda tidak terlepas untuk menonton filem aksi tanpa henti ini, yang menyaksikan pengorbanan, keberanian, dan kesatuan pahlawan-pahlawan Melayu untuk membebaskan tanahair tercinta. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas