Berita

YWP serah lebih RM3.5 juta bantuan

ANTARA wajah pelajar tahfiz yang gembira menerima sumbangan hari raya. ANTARA wajah pelajar tahfiz yang gembira menerima sumbangan hari raya.
- Diterbit 20 Mei 2022 2:49 AM MYT

DALAM memastikan kesejahteraan warga Wilayah Persekutuan (WP) terpelihara, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menyerahkan bantuan lebih RM3.5 juta buat warga Wilayah Persekutuan baru-baru ini dalam Majlis Hari Raya YWP.

Antaranya Skim Bantuan Awal IPT, Penyerahan Bantuan Pemakan Sekolah Menengah, Penyerahan Biasiswa Sekolah Menengah (SSPN-i-PTPTN), Sumbangan Alat Pendengaran dan Sumbangan Hari Raya kepada Pelajar Tahfiz serta Asnaf.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun, beliau yakin bantuan yang disalurkan ini sedikit sebanyak dapat membantu menceriakan kembali warga WP dan dalam masa sama meringankan beban golongan kurang bernasib baik.

Mengulas lanjut tentang bantuan yang diberi, YWP menyerahkan tajaan sejumlah RM2.5 juta makanan sihat untuk pelajar-pelajar yang layak di 112 buah sekolah menengah seluruh WP Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Kita juga turut menyerahkan duit simpanan untuk pelajar-pelajar cemerlang WP yang menerima Biasiswa Sekolah Menengah YWP, bernilai RM1 juta kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional,” katanya ketika Majlis Hari Raya Aidilfitri YWP yang diadakan di Manhattan Ballroom, Hotel Berjaya Times Square.

Mengambil berat dengan para pelajar WP yang tidak berkemampuan, YWP turut menyediakan bantuan tunai secara one-off sebanyak RM1,000 seorang kepada pelajar terpilih yang akan memulakan pengajian semester pertama.

“Mereka datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan. Jadi, kita membantu meringankan beban pelajar-pelajar di Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta di peringkat Diploma, Sarjana Muda serta Sarjana dan Kedoktoran.

“Selain itu, YWP juga turut menanggung sepenuhnya kos peralatan pendengaran bernilai RM3,500 kepada seorang warga emas, Wan Hasmah Mohd Shariff, 72, selain sumbangan sumbangan raya kepada 70 pelajar tahfiz dan 20 anak-anak yatim,” ujar beliau.

YWP merupakan Syarikat Berhad Menurut Jaminan yang telah ditubuhkan sejak tahun 1986 dan kini telah berusia 36 tahun.

IZZATUL

Sementara itu, penerima Skim Bantuan Awal IPT, Izzatul Sharafina Nur Amal, 21, berterima kasih kepada YWP kerana bantuan tersebut dapat meringankan bebannya bagi membaiki komputer ribanya yang rosak.

“Keutamaan ketika ini adalah untuk membaiki komputer riba yang rosak bagi memudahkan urusan pembelajaran saya memandangkan kursus yang diambil memerlukan penggunaan komputer riba sepenuhnya,” ujarnya.

AHMAD FADHLAN

Manakala pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran At-Taqwa, Ahmad Fadhlan Hafiz, 17, pula gembira dengan pemberian duit raya dan akan menggunakannya sebaik mungkin atau ketika terdesak. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas