Berita

DBKL tutup tiga premis hiburan langgar syarat lesen

ANGGOTA penguat kuasa DBKL merampas barangan di salah sebuah premis yang menganjurkan aktiviti hiburan di Kuala Lumpur.
- Diterbit 14 April 2022 3:18 AM MYT

AKIBAT menjalankan aktiviti yang melanggar syarat lesen Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), tiga buah premis hiburan yang beroperasi di sekitar Jalan P Ramlee dan Bukit Jalil, Kuala Lumpur dikenakan tindakan termasuk menutup premis dalam satu tindakan khas pada Rabu.

Unit Media, Jabatan Perancangan Korporat DBKL berkata, tiga buah premis tersebut telah dikenakan tindakan penutupan (sealed) serta-merta di bawah Seksyen 17, Akta Hiburan 1992.

“DBKL juga telah membuka tiga kertas siasatan di bawah Seksyen 4(1)(a) dan 4(1)(b) akta yang sama kerana mengadakan aktiviti hiburan (muzik) tanpa kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

SEBUAH premis menjalankan aktiviti hiburan dipalang oleh DBKL.

Menurut kenyataan itu, selain penutupan premis, DBKL turut menyita 14 pelbagai peralatan muzik melibatkan komputer riba, mixer, pembesar suara, spinner deck, gitar dan mikrofon.

“Kesemua barang sitaan telah dihantar ke Stor Sitaan DBKL di Jalan Lombong, Taman Miharja, Cheras bagi tujuan rekod dan penyimpanan sementara,” katanya.

Katanya, operasi khas itu melibatkan kira-kira 27 anggota penguat kuasa DBKL yang bermula dari pukul 10 malam dan berakhir pada awal pagi.

Tambahnya, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan ini akan diteruskan dari semasa ke semasa. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas