Berita

Penerima bertambah di 10 Parlimen

SHAHIDAN (tengah) menghulurkan sumbangan kepada golongan orang kelainan upaya (OKU) sempena Majlis Sumbangan Aidilfitri Komuniti Kuala Lumpur pada Selasa.
- Diterbit 14 April 2022 5:42 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menambah bilangan penerima sumbangan Aidilfitri yang diadakan setiap tahun dari 100 orang penerima setiap Parlimen kepada 300 orang sekali gus menjadikan 3,000 penerima seluruh Kuala Lumpur.

Bercakap mengenai perkara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, peningkatan itu dilakukan setelah mengambil kira keadaan masyarakat yang memerlukan bantuan untuk meringankan beban mereka meskipun peralihan ke fasa endemik bermula 1 April lalu.

“Pada mulanya kita hendak beri kepada 100 orang dari senarai e-kasih itu dari tiap-tiap parlimen dalam Kuala Lumpur. Tetapi setelah fikirkan bahawa ada keperluan untuk kita tingkatkan, maka kita tambahkan kepada 300 orang penerima untuk setiap parlimen dan Datuk Bandar Kuala Lumpur telah bersetuju penambahan itu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sumbangan Aidilfitri Komuniti Kuala Lumpur di Sentul Perdana di sini pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Menurut Shahidan, usaha tersebut diambil bagi membantu golongan miskin tegar yang menetap di Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur sebagai persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

“PPR dan PA ada kira-kira 4,000 orang yang dikategorikan sebagai miskin tegar dan angka yang sedang diputihkan adalah 2,900. Jadi kita meletakkan angka 3,000 itu dan ia bermakna kita telah beri (bantuan) kepada hampir semua golongan miskin tegar yang berada di PPR dan PA di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Ini ialah golongan miskin tegar sahaja dan golongan miskin melebihi angka tersebut dan ia diambil dari senarai e-kasih di setiap kawasan parlimen di Kuala Lumpur,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Kuala Lumpur Parlimen Batu, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim menyambut baik pengumuman tersebut dan ia merupakan berita gembira untuk warga Kuala Lumpur khususnya untuk golongan miskin yang terjejas akibat pandemik lalu.

“Pada asalnya, peruntukan itu untuk 100 orang sahaja, tetapi Menteri Wilayah Persekutuan cakna dengan keadaan masyarakat dan menambah bilangan kepada 300 penerima untuk setiap kawasan parlimen.

“Ini juga adalah tahun yang pertama setelah dua tahun kita tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri, dengan sumbangan serta penambahan ini, ia akan menceriakan lebih ramai orang di Kuala Lumpur,” katanya.

LEBIH ramai golongan asnaf di ibu negara bakal menerima sumbangan.

Menurut Gulam Muszaffar, pihaknya tidak berdepan dengan kesukaran untuk mencari tambahan 200 penerima kerana dalam pangkalan data MPPWP Parlimen Batu, jumlah golongan miskin di kawasan itu sentiasa dikemas kini.

“Dalam kawasan Parlimen Batu, kita mempunyai kira-kira tujuh kawasan PPR dan PA dan di situ pun, ia mungkin melebihi dari jumlah tersebut.

“Dan bagi pihak MPP, kita telah berpengalaman sejak dua tahun lalu menjaga rakyat sejak dari awal pandemik COVID-19 sehingga hari ini dan sebenarnya angka 300 penerima itu memang tidak mencukupi kerana dalam pangkalan data mengenai golongan terjejas ini memang ramai, namun untuk baki 200 penerima, kami akan mencari individu atau keluarga yang betul-betul layak dan memerlukan untuk menerima bantuan tersebut,” katanya.

Penerima adalah terdiri daripada orang kelainan upaya (OKU), warga emas, ibu tunggal dan golongan miskin bandar yang menetap di PPR/PA DBKL serta tidak pernah menerima apa-apa bantuan sebelum ini dan akan menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM150 serta barangan Hari Raya daripada DBKL. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas