Berita

DBKL pulangkan wang deposit peniaga Bazar Ramadan

- Diterbit 17 April 2020 1:46 PM MYT

PUTRAJAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memulangkan semula deposit kepada peniaga bazar Ramadan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu adalah seiring selepas semua bentuk bazar Ramadan dan gerai Ramadan tidak dibenarkan beroperasi.

“Saya difahamkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan (Tan Sri TPr Annuar Musa), DBKL akan memulangkan semua deposit dan sebagainya melibatkan peniaga bazar Ramadan yang kita tidak benarkan,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kerisauan segelintir peniaga berhubung deposit atau bayaran pendahuluan bazar Ramadan yang dilakukan mereka sebelum ini.

Kerajaan sebelum ini memutuskan sebarang bentuk bazar Ramadan dan gerai Ramadan seluruh negara tidak dibenarkan beroperasi bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19.

Selain itu, hanya perkhidmatan pesan dan menghantar melalui sistem e-hailing sahaja dibenarkan melalui E-Bazar sepanjang Ramadan ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas