Berita

Kukuhkan benteng barisan hadapan, MAIWP sumbang 250,000 topeng muka

ZULKIFLI (kanan) menyampaikan sumbangan peralatan untuk petugas barisan hadapan kepada Annuar di pekarangan Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Kuala Lumpur hari ini.
- Diterbit 17 April 2020 1:50 PM MYT

KUALA LUMPUR – Bagi memperkukuhkan  ‘benteng pertahanan’ dalam memerangi wabak Covid-19, petugas barisan hadapan terus mendapat suntikan sokongan apabila hari ini Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tampil menyumbangkan barangan kelengkapan untuk mereka.

Sumbangan tersebut merupakan 250,000 helai topeng muka, 40 unit alat pengukur suhu badan dan 50 botol cecair nyah kuman dengan keseluruhannya bernilai RM450,000.

Sumbangan tersebut disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Muhamad Al-Bakri  kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan (JKKNWP).

Zulkifli berkata, sumbangan itu merupakan sebahagian daripada program Musa’adah Covid-19 yang digerakkan oleh MAIWP untuk membantu petugas barisan hadapan.

“MAIWP menyumbangkan pelbagai alat keperluan untuk membantu meringankan beban bagi memutuskan rantaian Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan tersebut di pekarangan Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Sri Dr. Santhara; Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussein Al-Habshee dan Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail.

Kata Zulkifli lagi, pihak MAIWP bekerjasama rapat dengan Kementerian Wilayah Persekutuan dalam menyalurkan sumbangan kepada pihak yang memerlukan.

“Alhamdulillah, kami ucapkan terima kasih kepada pihak MAIWP yang telah memainkan peranan dengan sejumlah RM30 juta telah disumbangkan.

“Kerjasama dengan kementerian-kementerian lain terutamanya Kementerian Wilayah Persekutuan amat akrab dan usaha seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.

Tambahnya, MAIWP turut memberikan bantuan berjumlah RM5 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk pembelian barangan bagi menangani wabak Covid-19.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas