Berita

Bingkisan hati Lara buat Dr Noor Hisham

LARA KHADIJAH mengirimkan surat kepada Dr. Noor Hisham sebagai tanda penghargaan kepada pasukan perubatan yang dipimpinnya itu.
- Diterbit 17 April 2020 1:39 PM MYT

KETENANGAN wajah serta penampilan yang meyakinkan dalam menangani krisis Covid-19 membuatkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah disenangi ramai tidak kira tua atau pun muda.

Kehebatan figura yang sering menjadi perbualan di media sosial ini turut menjadi ‘hero’ di mata golongan kanak-kanak.

Terbaharu, beliau menerima bingkisan hati daripada seorang kanak-kanak darjah tiga bernama Lara Khadijah McAfee, 9.

Surat tulisan tangan tersebut menzahirkan ucapan terima kasih kepada beliau kerana menyempurnakan tanggungjawab membantu rakyat Malaysia menangani wabak itu.

Paling menarik hati, surat comel daripada murid Sekolah Kebangsaan Seri Budiman, Kuala Terengganu itu turut disertakan seutas rantai tangan Loom Band berwarna biru untuk Dr. Noor Hisham sebagai tanda persahabatan.

“Saya juga ada membuatkan Loom Band buat rakan-rakan. Mereka memakainya sebagai tanda persahabatan kami. Sekarang saya juga buatkan satu untuk awak sebagai tanda terima kasih,” tulis Lara.

Surat mencuit hati tersebut tular di laman sosial. Rata-rata netizen memuji kanak-kanak bijak tersebut.

Tidak berakhir di situ, Dr. Noor Hisham turut membalas surat Lara dengan mengucapkan terima kasih di atas penghargaan yang diberi si kecil itu.

Namun dalam masa sama menyifatkan apa yang dilakukan adalah usaha bersama pasukannya.

“Terima kasih di atas surat dan gelang yang comel itu. Cucu saya sangat menyukai gelang tersebut dan memakainya kini,” tulis Dr. Noor Hisham dengan disertai tandatangan sebagai kawan baharu kepada Lara.

Dr Noor Hisham mengakhiri surat balasannya itu dengan menyifatkannya sebagai rakan baharu Lara.

Wilayahku telah mendapat pengesahan daripada Unit Komunikasi Korporat Kementerian Kesihatan bahawa surat yang dibalas oleh Dr Noor Hisham itu adalah tulen.

Surat bertulisan tangan Lara Khadijah dan surat jawapan daripada Dr Noor Hisham tersebut turut dimuat naik dalam laman Facebook Terengganu Incorporated yang merupakan majikan kepada ibu budak perempuan itu, Mutiara Jusuf.

Bapanya, Anuar McAfee difahamkan merupakan Pengarah Pusat Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Surat Lara Khadijah itu juga mendapat perhatian Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang telah menulis di Twitter dengan menyifatkan ia sebagai menyentuh hati.

Terdahulu Dr. Noor Hisham disenaraikan sebagai antara tiga doktor terbaik dunia oleh China Global TV Network (CGTN) dalam perang menentang Covid-19. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas